Sam Ke Ting, 22, ketika hadir di Mahkamah Majistret Trafik  Johor Bahru, hari ini. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Sam Ke Ting, 22, ketika hadir di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru, hari ini. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Majistret Trafik di sini, menetapkan 17 Mei depan bagi sebutan semula untuk serahan dokumen kes jurujual wanita yang didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari lalu.

Majistret Salina Omar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir yang mengendalikan kes, memohon penangguhan selama empat minggu lagi.

Menurut Muhammad, ia berikutan beberapa dokumen belum diperoleh pihak pendakwaan, termasuk laporan bedah siasat dan laporan forensik.

"Laporan bedah siasat belum siap sepenuhnya kerana ia membabitkan lapan orang mangsa, malah laporan forensik juga masih belum diperoleh," katanya.

Salina bagaimanapun meminta pihak pendakwaan menyerahkan dahulu dokumen yang sudah diperoleh kepada pihak pembelaan, namun Muhammad masih memohon tempoh berkenaan kerana memerlukan masa mendapatkan dokumen diperlukan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan baru itu selepas peguam yang mewakili tertuduh, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon bersetuju.

Terdahulu, Sam Ke Ting, 22, tiba di mahkamah jam 9 pagi untuk sebutan semula bagi pengurusan kes itu di mahkamah berkenaan.

Pada 28 Mac lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian lapan remaja.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:58 AM