MUHAMMAD Huzairi didakwa di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini atas pertuduhan membunuh dua warga emas dalam kejadian di sekitar pekan Buloh Kasap pada 12 Julai lalu. FOTO Ahmad Ismail.
MUHAMMAD Huzairi didakwa di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini atas pertuduhan membunuh dua warga emas dalam kejadian di sekitar pekan Buloh Kasap pada 12 Julai lalu. FOTO Ahmad Ismail.
Mohd Sabran Md Sani dan Ahmad Ismail.


SEORANG penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Segamat, hari ini atas dua pertuduhan membunuh dua warga emas dalam dua kejadian di Buloh Kasap pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Huzairi Razali, 34, tunduk faham sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh diarahkan untuk dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa membunuh Ku Cheng Liong, 75, di kedai kopi Sin Yew Yee di nombor 12, Jalan Abdullah, Pekan, Buloh Kasap, pada 5.50 petang 12 Julai lalu.

Dia berdepan pertuduhan kedua membunuh Ng Wan Hong, 61 tahun di sebuah gerai menjual durian di nombor 18, Jalan Ibrahim, Pekan Buloh Kasap pada 6.03 petang hari sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Helmaterlidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Salina kemudiannya menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat oleh kedua-dua mangsa selesai.

Dalam kejadian pada 12 Julai lalu itu, dua lelaki warga emas maut akibat diserang secara rambang oleh seorang individu di dua lokasi berasingan di pekan Buloh Kasap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:05 PM