MIKE Johnson. Reuters
MIKE Johnson. Reuters
Bernama-Xinhua

Washington: Pemimpin Kongres Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai persetujuan untuk menghalang penutupan sebahagian kerajaan persekutuan yang dijadualkan pada tengah malam Jumaat ini, kata Ahli Parlimen pada Rabu.

Parti Demokrat dan Republikan telah bersetuju untuk membiayai sektor kerajaan tertentu dan telah memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir penutupan sedia ada kepada 8 Mac dan 22 Mac.

Ini akan memberi Kongres lebih banyak masa untuk mengusahakan rang undang-undang perbelanjaan tahunan, lapor Xinhua.

"Kami bersetuju bahawa Kongres perlu bekerja secara dwipartisan untuk membiayai kerajaan kami," kata Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson dan Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, selepas teks akhir tersedia Kongres akan mengundi dan meluluskan satu pakej enam rang undang-undang perbelanjaan tahunan yang membiayai pelbagai jabatan, termasuk pertanian, perdagangan, tenaga, dalam negeri, kehakiman, pengangkutan dan hal ehwal veteran sebelum 8 Mac.

Baki enam rang undang-undang perbelanjaan, termasuk pertahanan, perkhidmatan kewangan dan kerajaan am, keselamatan dalam negeri, kesihatan buruh dan perkhidmatan manusia, cawangan perundangan serta operasi negeri dan luar negeri, akan dimuktamadkan, diundi dan diluluskan sebelum 22 Mac.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Johnson berkata bahawa beliau "sangat optimis" Kongres akan mengelakkan penutupan kerajaan menjelang tarikh akhir Jumaat ini, selepas bertemu dengan Presiden Joe Biden dan pemimpin utama Kongres di Rumah Putih.

Walaupun terdapat perjanjian, pemimpin Kongres masih perlu mendapatkan persetujuan perjanjian itu dari Kongres.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:19 PM