Tiga mangsa yang kenal pasti ialah anggota polis Keith Palmer, Aysha Frade, dan Kurt W Cochran (bergambar bersama isteri, Melissa, yang cedera)  dari Amerika.
Tiga mangsa yang kenal pasti ialah anggota polis Keith Palmer, Aysha Frade, dan Kurt W Cochran (bergambar bersama isteri, Melissa, yang cedera) dari Amerika.
AP

London: Lelaki berusia 75 tahun yang meninggal dunia malam tadi, menjadi mangsa keempat maut akibat serangan di Jambatan Westminster, dekat bangunan Parlimen Britain, menjadikan jumlah korban kejadian itu lima orang, termasuk penyerangnya manakala kira-kira 30 lagi cedera.

Mereka yang cedera berasal dari 12 negara. Selain Britain, mereka termasuk pelajar sekolah dari Perancis, pasangan dari Romania, Portugal, Korea Selatan dan China.

Mangsa pertama dikenal pasti ialah Keith Palmer, 48, yang sudah 15 tahun menjadi anggota polis dan ditugaskan di Parlimen apabila maut ditikam penyerang.

Mangsa kedua ialah Aysha Frade, 43, rakyat Britain dengan ibunya berasal dari Sepanyol adalah seorang daripada dua mangsa yang maut di atas jambatan, bekerja di bahagian pentadbiran Kolej DLD berdekatan Parlimen, mempunyai dua anak perempuan.

Lelaki dari Utah, Amerika Syarikat, Kurt W Cochran, maut di atas jambatan itu pada hari terakhir kunjungannya ke Eropah sempena meraikan ulang tahun ke-25 perkahwinan. Isterinya, Melissa, cedera parah dengan patah kaki, rusuk selain luka dan calar-calar. Pasangan itu datang ke London untuk mengunjungi ibu Melissa.

Mangsa keempat ialah lelaki berusia 75 tahun yang meninggal dunia di hospital malam tadi, dan polis masih belum menyiarkan identiti dan kerakyatannya.

Mereka yang cedera pula ialah 12 rakyat Britain, empat Korea Selatan, Perancis (tiga), Romania (dua), Ireland (dua) dan masing-masing seorang dari Jerman, Poland, China, Itali, Portugal Amerika.

Penyerang pula dikenal pasti sebagai Khalid Masood, 52, yang dilahirkan di Kent, tenggara England, dan tinggal di West Midlands.

Polis berkata, Massod mempunyai beberapa kesalahan jenayah antara 1983 hingga 2003, termasuk serangan dan mencederakan namun tiada kaitan dengan pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:22 AM