ANGGOTA penyelamat mengusung seorang mangsa yang cedera. - Agensi
ANGGOTA penyelamat mengusung seorang mangsa yang cedera. - Agensi
AFP

Denpasar: Dua pelancong warga asing maut manakala 18 lagi cedera selepas sebuah feri yang dinaiki mereka di Bali meletup semalam, kata polis.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai seorang wanita warga Austria dan seorang lagi mangsa wanita masih belum disahkan identitinya.

Ketika kejadian kira-kira 30 pelancong warga asing termasuk dari Britain, Perancis, Itali dan Sepanyol menaiki feri berkenaan dari Padang Bai menuju ke pulau Gili Trawangan.

“Letupan berlaku kira-kira lima minit selepas feri itu meninggalkan pelabuhan,” kata jurucakap polis, Sugeng Sudarso.

Skuad pemusnah bom segera dihantar untuk menyiasat kejadian itu tetapi mengesahkan letupan bukan berpunca daripada serangan pengganas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kerosakan bateri berhampiran tangki minyak mungkin mencetuskan letupan itu.

“Berdasarkan keterangan penumpang dan bukti di lokasi kejadian, letupan dipercayai berpunca di tangki minyak.

“Sebuah bateri yang diletakkan di atas tangki minyak itu mungkin mengalami litar pintas yang menyebabkan letupan,” jelasnya.

Menurutnya, seorang wanita maut akibat cedera parah di kepala manakala pelancong warga Austria meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Kebanyakan mangsa cedera akibat terbakar, terkena serpihan letupan dan renjatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 11:52 AM