KEMALANGAN di Kilometer 26.5 Jalan Kota Bharu -Kuala Krai dekat Merbau Chondong malam tadi yang mengakibatkan seorang maut. FOTO IHSAN POLIS
KEMALANGAN di Kilometer 26.5 Jalan Kota Bharu -Kuala Krai dekat Merbau Chondong malam tadi yang mengakibatkan seorang maut. FOTO IHSAN POLIS
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang maut, manakala enam lagi termasuk kanak-kanak berusia dua tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 26.5 Jalan Kota Bharu -Kuala Krai dekat Merbau Chondong, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, mangsa yang maut itu adalah pemandu kereta Subaru, Muhammad Raimi Rajami, 35, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Tanah Pasir Mas.

Katanya, enam lagi membabitkan tiga penumpang kereta Subaru termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan, manakala pemandu dan dua penumpang Perodua Axia turut mengalami kecederaan di badan.

"Dalam kejadian pada jam 7.48 malam itu, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 37 tahun melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah yang sama.

"Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar secara berhadapan dengan kereta Subaru yang dipandu mangsa.

"Ketika kemalangan berlaku, kereta Subaru yang dipandu mangsa datang dari arah Kuala Krai menuju ke Kota Bharu dan akibat perlanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zahir berkata, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Machang.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 12:22 PM