Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Suasana pilu di majlis pengebumian jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Tok Kaya, Pulai Chondong, Machang, 4 petang semalam.

Jenazah empat beranak itu, Siti Rohani Yajid, 35, anaknya, Mohd Zahirul Fitri, 11, ibunya, Azizah Zakaria, 74, dan Yajid Ismail, 82, selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras, Binjai pada jam 4 petang tadi.

Terdahulu, jenazah mereka disembahyangkan lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung di surau kampung berkenaan.

Turut hadir di tanah perkuburan suami kepada Siti Rohani, Mohd Hasrul Nizam dan anak kedua mereka, Eiayazi Amani, 9.

Eiayazi Amani yang turut terbabit dalam kemalangan itu dan hanya mengalami cedera di kaki kelihatan sedih dan ditenangkan oleh ahli keluarga.

Eiayazi berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di bahagian penumpang belakang dan tersedar ketika berada di Hospital Machang.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya terjadi sebelum diberitahu mama dan abang sudah meninggal dunia,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, dalam kejadian jam 4 petang semalam, tiga sekeluarga maut, dua parah dan dua lagi cedera apabila kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka bertembung Mercedes Benz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 7:40 PM
Jenazah empat beranak dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras, Binjai. FOTO Fathil Asri
Jenazah empat beranak dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras, Binjai. FOTO Fathil Asri