PERMANDANGAN Litar Lumba Tangkak.
PERMANDANGAN Litar Lumba Tangkak.
myMetro

Kuala Lumpur: Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Gerisik, Johor menampilkan keistimewaan tersendiri apabila menjadi perlumbaan rasmi pertama di litar milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 24 dan 25 Mac ini.

Litar sepanjang 1.025 kilometer milik KBS yang siap pada penghujung 2016 itu dibina mengikut spesifikasi disyorkan Persatuan Automobil Malaysia (AAM), memiliki keseimbangan dari segi kelajuan dan kemahiran teknikal serta bersesuaian dengan penganjuran sukan permotoran tempatan termasuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Litar ini mempunyai laluan lurus terpanjang sejauh 290 meter dan mempunyai tujuh selekoh kiri serta dua selekoh kanan dengan laluan melawan arah jam akan digunakan untuk perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia minggu ini.

“Tiga selekoh awal memerlukan kelajuan jentera manakala gabungan selekoh kiri - kanan dari selekoh 4 ke selekoh 6 dilihat faktor penting dalam menentukan kemenangan pelumba,” jelas Ketua Operasi Cub Prix Shafry Azizan.

Perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi Persekutuan Sukan Automobil dari Turkmenistan yang akan melakukan lawatan sambil belajar mengenai kemudahan litar dan pengurusan acara perlumbaan.

Sesi latihan rasmi akan bermula pada jam 9.30 pagi 24 Mac dan perlumbaan akhir akan bermula pada jam 12 tengah hari 25 Mac.

Orang ramai boleh menyaksikan kedua-dua hari perlumbaan secara percuma. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:03 AM