KOLEKSI guna perincian tangan jahitan manik, kristal berbeza setiap rekaan.
KOLEKSI guna perincian tangan jahitan manik, kristal berbeza setiap rekaan.
Siti Zarinah Sahib

Potongan baju kurung sentiasa menjadi asas bagi sesetengah pereka yang masih mengekalkan ciri tradisional dalam rekaan mereka. Namun sifat fesyen itu sendiri yang berubah-ubah mengikut peredaran semasa membuatkan ciri potongan dipermodenkan menerusi kemasan pada bahagian tertentu.

Tambahan elemen seperti juntaian pada hujung lengan memberikan impak tersendiri kepada si pemakai. Begitu juga kain diperindahkan dengan jahitan kembang payung atau garisan A yang nyata menjadikan busana kelihatan anggun tanpa mengabaikan prinsip tradisi yang diperjuangkan pereka.

Melihat rekaan dihasilkan Mohd Riffairudin Husin menerusi jenama Riffai Couture, ternyata pereka ini sentiasa inginkan kesempurnaan dalam penghasilan busana.

Justeru kualiti sentiasa menjadi pertaruhan utama sama ada dari segi rekaan atau material digunakan. Pada masa sama dia masih mengekalkan tanda pengenalan jenama dengan memberikan kesan mewah, sopan dan elegan kepada wanita.

Menurut Mohd Riffairudin atau mesra disapa Riffai, istimewanya koleksi kali ini apabila setiap helaian menggunakan perincian tangan menerusi jahitan manik, kristal dan batu Swarovski yang berbeza untuk setiap rekaan. Ini bermakna untuk setiap busana hanya ada satu rekaan bagi menjaga nilai eksklusifnya.

“Sebagai pereka yang menyediakan busana sedia ditempah sudah pasti kelainan menjadi keutamaan. Justeru saya menghasilkan busana mengikut keinginan pelanggan. Walaupun kebanyakan rekaan adalah untuk acara rasmi misalnya keraian di istana, penganugerahan, majlis ziarah atau kenduri namun elemen glamor tetap diterapkan tanpa membuang nilai tradisionalnya,” katanya yang menggunakan premium perincian seperti manik dan kristal bagi menambah nilai kemewahannya.

Selain perincian, Mohd Riffairudin tetap berpegang kepada pemilihan fabrik berkualiti dan mewah seperti renda Perancis, kain net dan organza Itali yang bukan sahaja mempunyai struktur dan corak tersendiri namun fabrik sebegini sudah cukup menampakkan keperibadian wanita yang diinginkan. Ini kerana ia menonjolkan corak berkilau dan membangkitkan aura kepada si pemakai.

“Meskipun begitu, untuk fabrik polos saya memasukkan elemen elegan dengan jahitan manik di atasnya. Kekemasan dan ketelitian jahitan sangat saya titik beratkan kerana ia melengkapi satu pakej bagi menjadikan helaian busana berada dalam kelas tersendiri,” ujarnya yang kini menetap di Kuantan namun berulang alik ke Ampang pada setiap minggu demi memenuhi tempahan pelanggan.

Bukan sahaja terkenal dengan busana berkonsepkan tradisional, Mohd Riffairudin turut berpengalaman dalam melakar gaun labuh moden pelbagai potongan serta busana perkahwinan.

Istimewanya apabila rekaan dihasilkan tampil berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri. Menjelang Aidilfitri Jun nanti, pereka ini juga mulai sibuk menghasilkan lakaran dan memilih fabrik bagi memulakan operasi untuk hari raya. Sudah pasti gaya Melayu lama menjadi tumpuan dengan memasukkan unsur moden ke dalam rekaan.

“Saya bercadang menghasilkan rekaan baju kurung dan kebaya menggunakan fabrik tenun Pahang yang pastinya membangkitkan aura keserian dan kecintaan kepada busana lama yang tidak lapuk ditelan zaman. Saya pasti walau siapa dan di mana kita berada rekaan inilah yang masih mengekalkan jati diri dan tahu kedudukan kita sebagai anak Melayu yang mempunyai pegangan tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 1:58 PM