TAMPIL konsep romantis moden tapi pada masa sama sesuai digayakan Muslimah.
TAMPIL konsep romantis moden tapi pada masa sama sesuai digayakan Muslimah.
Intan Mas Ayu Shahimi


Belum reda lagi cakap-cakap orang mengenai kemeriahan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 (KLFW 2017). Bagi yang tidak berkesempatan mengikuti peragaan di ruang legar Pavilion KL, platform dalam talian seperti di laman YouTube dan Facebook menjadi sasaran.

Tidak boleh tidak, pengikut fesyen semasa tentunya mahu mendapatkan koleksi peribadi mereka sempena KLFW 2017. Ia umpama menyimpan tanda kenangan untuk diri, sekali gus menyatakan sokongan secara tidak langsung buat industri fesyen negara.

Dalam senarai jenama yang naik ke pentas peragaan KLFW 2017, JubahSouq dilihat antara yang menampilkan kelainan cukup besar dalam koleksinya. Banyak alunan mempesona ditonjolkan dua pengasas jenama ini iaitu Mohammad Zaki Muhammad Amin (Zack Amrul) dan sahabatnya Amirudin Yatin.

Jika dilihat latar belakang kedua-duanya, siapa sangka lelaki yang menjadi tunjang jenama ini datang dari bidang kejuruteraan. Namun, fesyen tidak pernah mengehadkan kreativiti sesiapa, hinggalah tercetusnya koleksi sedia dipakai (RTW) JubahSouq bagi musim bunga dan panas 2018.

Menurut Amirudin, koleksi yang diperagakan pada KLFW 2017 lalu memang sengaja ditampilkan penuh kelainan untuk menyerlahkan sisi baru jenama itu kepada umum, khususnya pengikut fesyen Muslimah tempatan dan luar negara.

“Biasanya kita terkenal dengan rekaan asas yang ringkas dan praktikal. Tetapi kali ini kami bawakan elemen couture versi JubahSouq.

“Pada asasnya, koleksi ini masih mengekalkan elemen serupa, cuma kita tambah perincian manik, kristal, labuci dan kelopak bunga kecil untuk menyerlahkan lagi potongan serta lipatan busana. Kami mahu ia nampak mewah dan elegan pada tubuh pemakai, pada masa yang sama masih sesuai digayakan sebagai koleksi RTW,” katanya.

KOLEKSI MEWAH PERTAMA

Jelasnya, koleksi istimewa itu adalah yang pertama seumpamanya bagi JubahSouq. Padanan hiasan, lipatan dan susunan ropol dipilih dengan teliti untuk nampak lebih eksklusif, sekali gus sesuai digayakan ke majlis makan malam atau keraian bersesuaian.

Bercerita lanjut mengenai koleksi itu, Amirudin berkata, sebagai salah satu butik Muslimah yang menyertai KLFW 2017, pihaknya dicabar menghasilkan kejutan istimewa untuk tetamu serta penonton temasya berprestij berkenaan.

“Ramai sudah tahu kami akan bawa busana Muslimah dengan elemen sopan dan ringkas. Jadi, kami membuat keputusan menampilkan gaya sopan yang berciri lebih mewah, sesuai dengan konsep KLFW 2017.

“Kalau dilihat dari sudut rekaan, bagi setiap helaian busana dan aksesori, kami mengambil inspirasi daripada tema gaun malam serta gaya romantik orang Itali.

“Selebihnya, keunikan koleksi kali ini adalah pada pemilihan warna. Kami bawakan warna terang seperti merah, kayu manis, putih dan hitam. Semua warna ini nampak lebih harmoni di pentas peragaan,” katanya.

IDEA LAMA TERSIMPAN

Ketika ditanya bagaimana tercetusnya ilham untuk menampilkan koleksi sebegini, Zack Amrul pula menjelaskan lakaran busana dalam koleksi berkenaan sudah disiapkan lebih awal, tetapi disimpan berikutan menunggu masa yang sesuai.

“Kami lakar dan simpan kerana agak sukar untuk dipasarkan tanpa tema khusus. Tambahan, kalau kami buat rekaan sebegini untuk pasaran biasa, kos akan meningkat. Apalagi jika hendak dijual sebagai koleksi RTW. Sudah pasti harganya akan lebih mahal berbanding pilihan lain di pasaran.

“Sesuai dengan berlangsungnya KLFW 2017 dan kami rasa sudah sampai masanya untuk terjun ke pasaran harga baru bagi koleksi mewah. Sebelum ini, kami juga sudah memperkenalkan julat harga lebih tinggi untuk JubahSouq Atelier yang menyediakan koleksi pakaian pengantin.

“Oleh itu, 16 rekaan bagi koleksi musim bunga dan panas 2018 inilah menjadi percubaan pertama kami untuk menghasilkan versi couture JubahSouq,” katanya.

Dalam koleksi itu, kedua-dua pemuda ini cuba bereksperimen dengan fabrik yang tidak pernah gunakan pada koleksi terdahulu. Antaranya termasuk sutera syantung yang memiliki kemasan berkilau, mudah terbentuk dan terletak indah di tubuh. Selain itu, ada juga beberapa jenis satin berbeza daripada apa yang digunakan dalam koleksi RTW sebelum ini.

“Bagi menampilkan lebih gaya dan sisi elegan pada pemakai, kami juga banyak bereksperimen dengan jenis lipatan berbeza kerana untuk setiap rekaan yang dihasilkan.

“Kami mahu menampilkan konsep romantis moden, tapi dalam masa yang sama masih sesuai digayakan golongan Muslimah. Bagi yang bukan Islam, mereka masih sesuai menggayakan gaun penuh untuk majlis formal, makan malam tahunan dan keraian besar lain. Sebolehnya, kami mahu mengekalkan tahap kesopanan dalam mengenakan busana indah sebaik yang mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 4:25 AM