DE BRUYNE (kanan) gagal menyerlah.
DE BRUYNE (kanan) gagal menyerlah.
STERLING (depan) diasak pemain Monaco.
STERLING (depan) diasak pemain Monaco.
AP

Monaco: Enggan menyalahkan kepincangan pertahanan kerana melepaskan gol mudah, pengurus Manchester City Pep Guardiola sebaliknya mempertikaikan sikap kurang agresif dan personaliti sebagai faktor kekalahan 1-3 pasukannya kepada Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kebangkitan daripada defisit 3-5 daripada perlawanan pertama dilihat misi sukar buat Monaco tetapi sebaliknya mereka lebih selesa di laman sendiri apabila pasukan tuan rumah mendahului 2-0 dalam tempoh 30 minit dan selain membalas kebangkitan seketika City pada separuh masa kedua untuk mara ke suku akhir.

Monaco diberi terlalu banyak ruang sepanjang perlawanan itu dengan serangan bertali arus yang disifatkan Guardiola berpunca daripada kepincangan trio penyerangnya - Sergio Aguero, Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling.

“Ia bukan masalah pertahanan. Penyerang kami perlu agresif dan merebut bola tapi sebaliknya kami tidak melakukannya. Itu sebabnya kami tersingkir,” kata Guardiola.

“Kekuatan kami adalah menerusi sikap agresif biarpun tanpa bola. Kami terlalu perlahan dalam semua aspek dan itu sebabnya kami hilang terlalu banyak gol di Eropah.”

Guardiola beberapa kali mengkritik Aguero musim ini terutama kerana kurang kesungguhan dan cenderung untuk tidak cuba merampas kembali bola.

Penjaring gol terbanyak City itu menempuhi malam yang malang, terlepas dua peluang terbaik dan gagal menutup ruang apabila Monaco melancarkan serangan pantas dari kawasan mereka.

Perbezaan tempo di antara aksi lembab City pada separuh masa pertama dan peningkatan ketara selepas rehat menyerlahkan aksi tidak konsisten yang menunjukkan pasukan pelawat sebagai pasukan mempunyai terlalu banyak kelemahan untuk mencabar di peringkat lebih tinggi.

“Kami mahu menunjukkan personaliti bukan membiarkan mereka berfikir mereka boleh terus menghantar bola,” kata Guardiola.

“Kami terlupa melakukannya pada separuh masa pertama. Kesilapan saya adalah tidak mampu meyakinkan mereka.”

Bagi pengurus Monaco Leonardo Jardim, mereka jelas sekali tahu bagaimana untuk mengeksploitasi kelemahan City.

“Kami tahu City suka bermain dengan pertahanan kukuh. Sterling dan Sane adalah penyerang yang hebat ketika menyerang tapi tidak ketika bertahan,” kata beliau.

“Kami sedar kami boleh mencipta masalah buat mereka dengan pemain banyak melakukan hantaran. Kami cuba mengeksploitasi kelemahan mereka.”

Guardiola menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak dua kali sebagai pengurus tetapi perlawanan ke-100 dalam kejohanan Eropah itu adalah sesuatu yang ingin segera dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 9:24 AM