STERLING (kanan) jaringkan dua gol pada perlawanan pertama playoff Liga Juara-Juara.
STERLING (kanan) jaringkan dua gol pada perlawanan pertama playoff Liga Juara-Juara.
Agensi

London: Pep Guardiola mengingatkan Raheem Sterling supaya kekal fokus walaupun penyerang Manchester City mempamer aksi membanggakan pada awal musim ini.

Sterling menjadi nadi kemenangan 5-0 City ke atas Steaua Bucharest pada perlawanan pertama playoff Liga Juara-Juara apabila dia membantu menghasilkan dua gol awal selain memenangi penalti yang gagal disempurnakan Sergio Aguero.

Guardiola pantas memuji persembahan pemain antarabangsa England berkenaan tetapi yakin anak buahnya itu mampu menghasilkan permainan yang lebih baik.

“Hingga kini, Raheem berjaya mempersembahkan aksi yang menarik tetapi dia baru berusia 21 tahun dan masih banyak yang perlu dia pelajari,” kata Guardiola.

“Nasihat yang boleh saya berikan ialah, dia perlu terus bertenang dan menumpukan perhatian kepada latihan, tubuh serta kehidupan peribadinya. Jika dia berjaya mengatasi semua faktor itu, dia pasti memiliki kualiti yang hebat kerana dia mempunyai kepantasan selain selalu bekerja keras.

“Dia boleh bermain di tepi atau tengah. Dia tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan rakan sepasukannya. Dia pemain yang hebat dan itulah sebabnya mengapa (pengarah bola sepak) Txiki (Begiristain) dan kelab membelinya.”

Guardiola gembira dengan persembahan pasukannya yang seakan sudah hampir pasti layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menerusi kemenangan bergaya di Romania.

“Kami sudah semakin hampir ke Liga Juara-Juara dan ia memang sasaran kami sejak awal,” kata Guardiola. “Ia persembahan yang bagus dan semua pemain mempamer sikap membanggakan. Kami benar-benar bagus, keputusannya juga hebat tetapi apa yang paling saya sukai ialah gaya permainan yang dipersembahkan.

“Semua jurulatih di dunia ini mahu pemain mereka mencipta peluang dan pada masa sama, tidak melepaskan gol. Itu saja. Buat masa ini, kami sudah layak ke Liga Juara-Juara dan kami perlu menumpukan perhatian kepada Stoke di liga domestik.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:39 AM