ASMAUL HUSNA (hadapan) bersama juruterapi lelaki dan wanita di Adam & Hawa Spa Massage.
ASMAUL HUSNA (hadapan) bersama juruterapi lelaki dan wanita di Adam & Hawa Spa Massage.
PERANTI dengan warna tertentu diletakkan pada wajah.
PERANTI dengan warna tertentu diletakkan pada wajah.
Siti Zarinah Sahib

Emas bukan hanya dijadikan perhiasan atau pelaburan, tetapi kini turut digunakan sebagai bahan dalam perawatan wajah dan badan disebabkan memiliki khasiat yang tinggi. Sejak zaman dahulu Jepun, Rom dan Mesir menggunakan rawatan wajah berasaskan emas murni untuk mencantikkan kulit.

Desakan dalam perkembangan teknologi menyebabkan rawatan ini diperbaharui menerusi serbuk emas 24 karat, yang berfungsi mencerah, menegang dan menganjal kulit.

Rawatan ini sesuai untuk wanita berusia 35 tahun ke atas kerana pada peringkat ini kulit mula mengalami perubahan seperti pigmentasi, kedutan, kulit kusam dan kasar. Pada usia ini juga kolagen akan mulai berkurang menyebabkan munculnya tanda penuaan. Pun begitu, wanita berumur kurang 35 tahun juga boleh mendapatkan rawatan wajah berasaskan emas kerana hasilnya lebih ketara dan kulit menjadi semakin cantik.

Menyedari rawatan emas 24 karat mendapat permintaan tinggi mendorong pemilik Spa Adam & Hawa Spa and Massage Asmaul Husna Haris Fadzilah, 30, memperkenalkan rawatan ini di spanya yang beroperasi di Bandar Baru Bangi.

Menurut Asmaul Husna, berdasarkan pemerhatian dan kajian dalam bidang kecantikan, emas 24 karat yang biasa digunakan di pusat kecantikan adalah berbentuk kepingan topeng wajah.

Ingin mencipta kelainan, dia menyediakan emas 24 karat menggunakan teknologi nano sebagai salah satu tanda pengenalan di spa dan memenuhi permintaan wanita yang inginkan perubahan dalam masa singkat.

“Kami menggabungkan teknologi nano emas berbentuk hablur kerana zarahnya lebih kecil dan mudah meresap ke kulit. Nano emas ini juga mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kategori produk kecantikan,” katanya.

Sambil menunjukkan langkah demi langkah rawatan, jelas Asmaul Husna, sebelum sapuan dilakukan, wajah pelanggan dianalisis terlebih dahulu bagi mengetahui jenis dan masalah kulit.

“Selepas itu barulah rundingan dijalankan. Seboleh-boleh kami ingin memenuhi permintaan pelanggan berdasarkan masalah dan bajet mereka,” katanya

Ujarnya lagi, rawatan emas 24 karat ditujukan kepada individu yang inginkan perubahan segera. Misalnya pasangan pengantin yang melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat, wanita berusia 40 tahun ke atas, mempunyai jeragat dan bintik hitam.

“Rawatan ini menampakkan hasil serta-merta. Sebaik sahaja kulit dibersihkan dengan air, pelanggan mengakui kemulusan kulit ketara, lebih lembut, cerah dan segar. Malah, ia kekal bertahan selama empat minggu,” katanya.

Menggunakan teknik rawatan sama untuk lelaki dan wanita, sebelum bancuhan nano emas disapu, kulit dibersihkan sambil urutan lembut ke seluruh wajah. Kemudian nano emas disapu menggunakan berus bermula dari hujung dahi, kedua belah pipi, bahagian tengah dan dagu.

“Menariknya kami menggunakan 100 peratus nano emas, berfungsi meningkatkan aliran darah ke kawasan perawatan. Proses ini dapat mempercepatkan dan mengaktifkan regenerasi. Nano emas akan berhubungan dengan elektron dalam sel kulit dan memberikan reaksi terhadap sel kulit. Dengan begitu, emas akan mengaktifkan ion lantas menciptakan hubungan di antara kulit luaran. Ini menjadikan kulit lebih cerah, mengurangkan jeragat dan menghalang kedutan berlaku,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk kesan optimum, nano emas dibiarkan satu hingga satu setengah jam. Kemudian diletakkan peranti khas dengan warna lampu tertentu bagi mempercepatkan kesannya.

“Emas berupaya mengatasi kulit kering, membantu meningkatkan sistem metabolisme sekali gus mencegah penuaan, mencerah, mempertahankan kulit agar awet muda. Perawatan emas juga membantu melambatkan penipisan kolagen, mengurangkan kerosakan elastin dan mengembalikan keanjalan kulit,” terangnya.

SPA UNTUK WANITA DAN LELAKI

Tidak hanya dikhususkan kepada wanita, Adam & Hawa Spa and Massage berkonsepkan Islamik memberi tumpuan kepada pasangan suami isteri mendapatkan perkhidmatan wajah dan badan.

Satu-satunya spa di Bangi yang memberikan tumpuan kepada lelaki dan wanita jelas Asmaul Husna, kemudahan disediakan ini memberi peluang kepada golongan profesional mendapatkan rawatan tanpa keraguan.

“Siapa kata lelaki tidak ingin memanjakan diri di spa. Lelaki juga inginkan wajah dan badan diurut selepas seharian bekerja. Namun kebanyakan mereka bimbang dilayan juruterapi wanita ditambah pula tiada kepercayaan isteri yang mahu melepaskan suami menjalani rawatan membuatkan keinginan mereka terbantut,” katanya.

Mula beroperasi pada Julai 2017, spa dua tingkat ini terbahagi kepada dua bahagian. Di bawah dikhususkan untuk wanita manakala lelaki di tingkat atas.

“Untuk wanita terdapat empat terapi berpengalaman, memberikan rawatan wajah dan badan manakala tiga terapi lelaki dikhususkan untuk pelanggan lelaki sahaja,” katanya.

Spa ini beroperasi setiap hari kecuali Ahad dibuka jam 10 pagi hingga 8 malam. Ia diuruskan dua sahabat baik, iaitu pensyarah di pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Asmaul Husna memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini menjadi tenaga pengajar di salah sebuah universiti tempatan manakala Fazri Mustafa, 28, pensyarah dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti swasta.

“Walaupun memiliki kepakaran berbeza, kami terpanggil memberikan perkhidmatan kecantikan eksklusif dan berkualiti kepada pelanggan menerusi produk, khidmat terapi dan juga perkhidmatan diberikan. Disebabkan faktor ini ramai pelanggan datang untuk mendapatkan rawatan pada setiap bulan,” kata Asmaul Husna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 9:59 AM