Omar Osman


Sungai Petani: Pemandu lori balak berusia 50 tahun maut dihempap tiga balak ketika menurunkan kayu berkenaan di sebuah kilang papan di Pekan Lama, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku 5.30 petang ketika mangsa, Mohd Saad Daroos dan rakannya, Mohd Rifahmi Mohd Isa, 27, sedang membuka ikatan rantai dan penahan besi pada kayu balak terbabit yang berada di atas lori.

Namun ketika mangsa mahu beredar untuk menyimpan besi penahan, secara tiba-tiba tiga batang balak dianggarkan seberat dua tan setiap satunya menggelungsur jatuh sebelum menimpa mangsa.

Bagaimanapun, Mohd Rifahmi terselamat dan mengalami cedera ringan di bahagian belakang pinggang, akibat kejadian itu.

Saad yang beralamat di Batu 2, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, mati serta-merta di tempat kejadian.

Ketika ini usaha mengeluarkan mangsa sedang dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 7:56 PM
Mayat Saad di bawah balak lebih dua pemeluk sebelum dialihkan.
Mayat Saad di bawah balak lebih dua pemeluk sebelum dialihkan.