TERIMA kasih sifu!
TERIMA kasih sifu!
CARA melapik plastik sangat penting.
CARA melapik plastik sangat penting.
 MULA membuat adunan.
MULA membuat adunan.
 LAPISAN pertama dikukus kira-kira 20 minit.
LAPISAN pertama dikukus kira-kira 20 minit.
 CARA memasukkan lapisan kedua.
CARA memasukkan lapisan kedua.
HASIL yang sempurna.
HASIL yang sempurna.
Kusyi Hirdan

Penulis dan Siti Nafidzah Muslim merancang membuat kuih ini kerana dua perkara - cantik dan sedap. Turut dirancang supaya Norizahtul Akmar Bahar, 23, pelajar tahfiz dari Kolej Universiti Islam Melaka dapat menjadi peserta hari itu.

Akhirnya dua insan ini bergabung, seorang sifu dan seorang lagi pelajar tahfiz. Akmar tampak gementar walaupun teruja, manakan tidak ia pengalaman pertama bagi dirinya.

“Ya, saya sangat takut kerana tak pernah melakukannya. Sebelum ini kuih yang biasa dibuat bersama ibu hanya karipap dan donat. Kali ini yang mengajar ialah sifu kuih talam berpengalaman. Kekok jadinya tetapi di peringkat awal saja. Selepas seketika, saya selesa dan serasi dengan cara kakak Siti Nafidzah mengajar,” katanya.

Apabila ada ilmu pengetahuan walaupun sejenis kuih, ia boleh dimanfaatkan sama ada untuk makan sendiri atau jualan penambah rezeki.

Siti Nafidzah yang berpengalaman mengajar kelas membuat kuih talam memberikan tunjuk ajar dan petua berguna kepada Akmar. Setiap satu dikongsi supaya penghasilan talam suji sempurna dari segi rasa dan rupa.

“Setiap kali membuat kuih talam, jangan membuat taruhan mengenai bahannya kerana ia sangat mempengaruhi bentuk dan rasa. Bagi yang pertama kali membuatnya, kenali bahannya terlebih dulu. Contohnya, apakah gula halus? Gula ini tidak sama dengan gula aising. Sekiranya tertanya-tanya mengenai telur, boleh digunakan telur gred A, B atau C,” katanya.

Akmar diajar dari peringkat paling asas iaitu meletak plastik ke dalam loyang. Sebelum itu, sapu lapisan nipis minyak supaya plastik itu mudah melekat dan terletak.

“Untuk loyang 10 inci, plastik yang digunakan ialah 16 x 16 inci. Penggunaan dan cara lapik plastik penting kerana ia mempengaruhi rupa akhir kuih nanti,” katanya.

Langkah seterusnya ialah mengadun bahan bagi lapisan pertama iaitu lapisan bawah. Tepung suji sudah direndam selama setengah jam.

“Tepung suji wajib direndam kerana ia perlu kembang dan lembut. Rendam lama sedikit pun boleh cuma jangan terlebih rendam dikhuatiri hasilnya sudah masam,” katanya.

Bahan membuat kuih talam mestilah sentiasa dijaga kualitinya.

“Hasil talam yang baik bergantung kepada bahan terbaik digunakan. Santan mesti santan asli. Tepung juga mesti yang terbaik. Saya gunakan cap Kunci manakala pewarna kuning lemon untuk lapisan suji. Lapisan ini mesti kuning, tak boleh menggunakan warna lain,” pesan Siti Nafidzah sambil mengingatkan adunan air harus betul-betul mengikut sukatan resipi. Terlebih atau terkurang akan membuatkan adunan menjadi lembik atau keras.

Naik wap?

“Apakah yang dimaksudkan naik wap? Apabila memasak adunan, kita memasaknya sehingga naik wap. Ini bermaksud adunan sudah berasap dan memberat ketika kita mengacaunya,” katanya.

Siti Nafidzah juga mengajar cara menuang adunan kedua di atas lapisan bawah.

“Gariskan lapisan bawah menggunakan garfu. Ini bagi memastikan lapisan di atas melekat di atasnya. Kalau tidak berbuat demikian, ia tidak melekat dan mudah terpisah semasa kita memotong kelak,” katanya.

Kuih talam mesti dibiarkan betul-betul sejuk sebelum memotongnya. Sekiranya memotong ketika panas, ia mudah rosak.

Dengan menjaga kualiti bahan yang digunakan, cara memasak yang betul, kuih talam suji ini tahan 24 jam pada suhu bilik.

Akmar yang mengikuti semua petua dan pengajaran daripada Siti Nafidzah memberitahu akan mencuba membuatnya sendiri.

“Apabila sudah membuatnya dan mengikuti segala petua, ia tidaklah sesukar yang saya bayangkan. Lagipun, kakak Siti Nafidzah banyak beri tunjuk ajar yang berguna. Gembira sangat saya dapat peluang belajar. Mana tahu suatu hari nanti saya jadi pengeluar kuih talam juga.” katanya.

INFO

RESIPI TALAM SUJI

Lapisan bawah

Bahan A:

• 180 gram tepung suji

• 450ml air

Bahan B:

• 220 gram gula halus

• 2 biji telur

• 200ml santan pekat

• 250ml air

• 50 gram tepung gandum

• Pewarna kuning lemon

Cara memasak:

1. Rendam bahan A selama sekurang-kurangnya setengah jam.

2. Satukan bahan B sehingga sebati, tapis dan masukkan ke dalam bahan A.

3.. Kacau atas api sederhana sehingga naik wap.

4. Masukkan ke dalam loyang dan kukus 20 hingga 25 minit atau sehingga masak.

Lapisan atas

Bahan A:

• 300 gram gula merah

• 50 gram gula halus

• 500ml air

Bahan B

• 150 gram tepung gandum

• 3 biji telur

• 250ml santan pekat

• ½ sudu kecil garam halus

Cara memasak:

1. Rendam bahan A sebentar untuk menghancurkan gula.

2. Satukan bahan B, kacau sehingga rata dan masukkan bahan A. Tapiskan.

3. Masak sehingga naik wap, tuangkan ke atas lapisan kuning dan kukus selama 30 minit sehingga masak. Sebelum tuang, pastikan anda menggaris bahagian bawah dengan garfu supaya adunan atas mudah melekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 12:33 PM