PRESIDEN Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Ghaffar (kiri). Turut sama Pengarah International Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017, Mohd Apandi Muhammad (kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail
PRESIDEN Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Ghaffar (kiri). Turut sama Pengarah International Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017, Mohd Apandi Muhammad (kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kesatuan Ulamak Islam Sedunia mahu sekretariat ditubuhkan bagi menyelaras program kesihatan dan pembangunan pendidikan kepada golongan minoriti Islam di seluruh dunia.

Naib Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, buat permulaan, program itu akan dimulakan terlebih dahulu buat golongan minoriti Islam Rohingya.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya Malaysia mempengerusikan sekretariat berkenaan di mana ia turut dinaungi kerajaan Malaysia sendiri.

"Kelompok minoriti Islam di Rohingya berhak menerima hak sama rata terutama dari segi kewarganegaraan, keselamatan, pendidikan, ekonomi, pendidikan dan kebebasan beragama," katanya pada ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya di sini, malam tadi.

Teks ucapan Abdul Hadi dibacakan oleh Penolong Setiausaha Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Abdul Ghaffar Aziz.

Katanya, kerajaan Malaysia juga disaran untuk menjalinkan kerjasama dengan negara Islam lain bagi menghalang campur tangan kuasa besar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan terutama berkaitan isu Rohingya.

Abdul Hadi berkata, negara yang menandatangani Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam Geneva dan negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pejuang hak asasi manusia di seluruh dunia perlu bekerjasama dalam memberi amaran kepada pihak yang menafikan hak asasi manusia dan kerakyatan entik Rohingya di Myanmar.

Menurutnya, antara tindakan lain yang boleh diambil bagi menangani isu Rohingya termasuk menghentikan sebarang bentuk penindasan, keganasan dan penggunaan senjata serta merta terhadap etnik berkenaan di seluruh Myanmar.

"Selain itu, kerajaan Myanmar dan negara jiran berdekatan juga perlu membenarkan agihan bantuan kemanusiaan termasuk makanan halal dan perubatan sampai kepada etnik berkenaan.

"Pada masa sama, kanak-kanak juga perlu diberi peluang untuk menerima pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, etnik Rohingya juga perlu dibenarkan untuk menerima kemudahan bantuan beribadah seperti solat dan puasa terutama menjelang Ramadan yang bakal tiba.

Seramai 180 peserta dari pelbagai negara menghadiri persidangan tiga hari berakhir Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 11:37 PM