Kumpulan asasi manusia terbesar Korea Selatan tarik semula anugerah kepada Suu Kyi. FOTO AFP
Kumpulan asasi manusia terbesar Korea Selatan tarik semula anugerah kepada Suu Kyi. FOTO AFP
AFP

SEOUL : Sebuah kumpulan hak asasi manusia terbesar Korea Selatan akan menarik semula anugerah yang diberikan kepada ketua de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi pada tahun 2014 susulan pendirian beliau terhadap kekejaman dilakukan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Suu Kyi ketika itu tidak dapat menerima anugerah hak asasi manusia Gwangju kerana berada di bawah tekanan rumah yang dikenakan junta tentera.

Parti pimpinan beliau bagaimanapun mengambil alih tampuk pemerintahan dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu memegang gelaran kaunselor negeri namun kini Suu Kyi dikecam hebat kerana tidak mengambil sebarang tindakan membela nasib etnik minoriti Rohingya.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa etnik Islam di Myanmar itu berterusan menjadi sasaran penghapusan etnik oleh tentera Myanmar.

“Pendirian Suu Kyi terhadap kekejaman dilakukan ke atas etnik Rohingya bercanggah dengan anugerah diterimanya iaitu melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia,” kata jurucakap Yayasan Memorial 18, Cho Jin Tae.

Sebagai akibat, lembaga pengarah yayasan itu semalam memutuskan untuk menarik semula anugerah berkenaan, kata Jin Tae.

Yayasan Memorial 18 ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai memperingati penentangan golongan pro demokrasi pada tahun 1980 di Gwangju yang berakhir dengan pertumpahan darah oleh pasukan undang-undang tentera, membabitkan lebih 200 mangsa.

Penentangan terhadap pemerintah kuku besi, Chun Doo Hwan itu memberi inspirasi kepada tunjuk perasaan oleh golongan pro demokrasi yang membawa kepada pelaksanaan semula sistem demokrasi tujuh tahun kemudian.

Bulan lalu, Amnesty Antarabangsa menarik semula anugerah berprestij Duta Hati Nurani yang diberikan kepada Suu Kyi, memetik pendirian beliau dalam kekejaman terhadap etnik Rohingya sebagai faktor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 2:41 PM