TRAK Isuzu tetap menjadi pilihan ramai.
TRAK Isuzu tetap menjadi pilihan ramai.
ISUZU D-Max yang semakin diminati.
ISUZU D-Max yang semakin diminati.
Mohd Razlan Salleh


Isuzu meraikan satu lagi kejayaan apabila mencatat rekod tahunan dengan kedudukan keenam dari segi jualan keseluruhan jenama kenderaaan paling popular di negara ini, naik satu anak tangga berbanding sebelumnya.

Menurut angka jualan keseluruhan dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Isuzu Malaysia kekal menjadi trak tugas ringan paling laris untuk tujuh tahun berturut-turut dan kali ketiga untuk trak tugas sederhana, Forward.

Isuzu juga meneruskan dominasi dalam pasaran trak tempatan dengan mencatat perkongsian pasaran sebanyak 38.9 peratus manakala jumlah jualan bagi Isuzu D-Max dalam segmen trak pikap juga meningkat 10 peratus walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk segmen berkenaan menunjukkan penurunan sehingga 19 peratus.

Kenaikan itu sekali gus menambah baik perkongsian pasarannya daripada 11 peratus kepada 15 peratus. Model pikap D-Max and Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) MU-X menjadi antara jenama trak paling laris di pasaran tempatan.

Mengulas laporan keputusan pasaran 2016, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsouka berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian sebagai jenama kenderaan komersial pilihan pengguna sekali lagi walaupun jangkaan kurang positif bagi industri automotif tahun lalu.

“Isuzu sentiasa berusaha mengutamakan kepuasan pelanggan menerusi langkah menambah baik konsep 3S membabitkan jualan, servis dan alat ganti.

“Kenaikan dalam kedudukan ini jelas membuktikan kualiti produk dan perkhidmatan kami dengan menjadikan pelanggan sebagai ‘rakan kongsi’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:04 AM