MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan khas dengan ahli keluarga rakyat Malaysia yang dikenakan larangan meninggalkan Korea Utara di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur, Sabtu, 11 Mac. FOTO Saddm Yusoff
MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan khas dengan ahli keluarga rakyat Malaysia yang dikenakan larangan meninggalkan Korea Utara di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur, Sabtu, 11 Mac. FOTO Saddm Yusoff
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mayat Kim Jong-nam diserahkan kepada Korea Utara selepas perbincangan secara rasmi untuk mengetahui tuntutan kerajaan republik itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata selepas tiga kali perbincangan tidak rasmi, Korea Utara belum memberikan kata putus mengenai tuntutan mereka, termasuk membabitkan rakyat Malaysia di republik itu.

“Pada akhirnya, mayat akan diserahkan kepada kerajaan Korea Utara atau ahli terdekat. Namun, kita mahu memastikan keselamatan rakyat kita terlebih dahulu.

"Semua ini akan diputuskan dalam perbincangan rasmi dalam masa dua atau tiga hari di lokasi belum diketahui," katanya dalam sidang media khas selepas mengadakan pertemuan dengan 11 waris tiga rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu.

Sehingga ini, katanya, Malaysia menolak tawaran negara lain untuk mengadakan rundingan dengan Korea Utara berikutan kerajaan masih ada hubungan diplomatik.

“Tidak perlu bantuan negara ketiga kerana kita masih berhubung secara langsung dengan wakil republik itu," katanya.

Katanya, bagi ahli keluarga yang mahu mengetahui perkembangan terkini boleh menghubungi bilik operasi 24 jam di 03-88874770.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:23 PM