Rabi 'Atul 'Adawiyah IsmailRabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

[email protected]@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindak balas menghalang rakyat Korea Utara keluar dari negara ini adalah wajar, bersesuaian dengan strategi dalam pengurusan konflik diplomatik.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sewajarnya selepas fasa ini perlu ada tempoh bertenang untuk kedua-dua pihak.

"Sebagai negara yang tak menyokong demokrasi dan bersifat autokratik, Korea Utara boleh bertindak di luar jangka. Namun, belum ada kemungkinan Korea Utara menggunakan langkah ketenteraan dan situasi masih terkawal.

"Semua negara dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memantau situasi ini. Justeru, Korea Utara dijangka lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pagi tadi AFP melaporkan, Pyongyang melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara komunis itu. Selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Ketua Polis Negara melarang semua rakyat Korea Utara di negara ini daripada meninggalkan Malaysia sehingga dapat memastikan keselamatan rakyat kita di sana.

Awang Azman berkata, konflik antara Korea Utara dan Malaysia dapat ditangani menggunakan saluran dan protokol diplomatik.

Katanya, cara memulihkan hubungan ini ialah perlu saling memberikan kepercayaan antara satu sama lain dan bersifat menang-menang serta bersesuaian dengan protokol diplomatik.

Katanya, ketika era bekas Presiden Amerika George Bush, beliau menggunakan misi diplomatik secara tidak rasmi ke Korea Utara sebagai usaha memulihkan hubungan Amerika Syarikat dengan Korea Utara.

"Pada pendapat saya, langkah ini perlu dicontohi Malaysia bagi memulihkan hubungan kita dengan Korea Utara.

"Kedua-dua negara ini menghadapi situasi ketidakselesaan apabila timbulnya isu baru-baru ini. Situasi ini, bukan bermakna perang dalam politik hubungan antarabangsa tetapi ia sekadar situasi dikenali sebagai kebuntuan diplomatik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 7:07 PM