KEDUTAAN Korea Utara di Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
KEDUTAAN Korea Utara di Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia bersedia membuka pintu perbincangan dengan delegasi Korea Utara bagi menyelesaikan hubungan diplomatik antara dua negara terutama nasib rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, delegasi Korea Utara masih berada di Malaysia ketika ini dan belum pulang ke Pyongyang.

"Kerajaan melalui Kementerian Luar akan berbincang dengan mereka berhubung nasib rakyat kita yang gagal pulang ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

"Bagaimanapun, kita sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pihak sana berikutan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah menjelaskan tidak akan memutuskan hubungan diplomatik membabitkan dua negara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Ditanya adakah Malaysia dalam langkah berjaga-jaga dengan ancaman Korea Utara, Menteri Dalam Negeri itu menegaskan ia bergantung tindakan Korea Utara ketika ini.

"Kita percaya sebarang tindakan dari pihak sana perlu rasional untuk mengekalkan hubungan dengan Malaysia.

"Apa yang penting ketika ini adalah keselamatan warga Malaysia di Pyongyang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 2:48 PM