TRUMP dan pemimpin G7 yang bersidang di Taormina, Sicily, Itali, semalam. - Reuters
TRUMP dan pemimpin G7 yang bersidang di Taormina, Sicily, Itali, semalam. - Reuters
Agensi

Taormina (Itali): Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam berjanji isu Korea Utara akan diselesaikan.

Trump berkata demikian ketika bermesyuarat dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di Taormina, Itali.

Kedua-dua pemimpin berkenaan berada di bandar di Sicily itu untuk menghadiri sidang kemuncak G7.

“Ia memang masalah besar, masalah dunia. Kami akan membincangkannya secara mendalam. Tetapi saya boleh beri jaminan, ia akan diselesaikan,” kata Trump tanpa memberi butir lanjut.

Korea Utara melakukan dua ujian atom tahun lalu dan beberapa siri ujian peluru berpandu tahun ini walaupun berdepan dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia mendakwa senjata itu diperlukan untuk melindungi dirinya daripada serangan Amerika Syarikat.

Setakat ini Washington memilih sekatan dan tekanan diplomatik dengan bantuan China, sekutu Korea Utara paling rapat, bagi mengekang impian Pyongyang.

Antara senjata yang diuji negara itu tahun ini ialah peluru berpandu jarak sederhana Hwasong-12 yang Pyongyang dakwa mampu dilengkapi peledak nuklear.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 1:20 AM