Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Keputusan sama ada untuk menghantar pulang atau menahan terus 315 rakyat Korea Utara yang kebanyakan berada di Sarawak diputuskan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan rasional dalam melakukan sebarang keputusan membabitkan rakyat republik itu dalam menjaga hubungan diplomatik dua negara.

"Keputusan sama ada menghantar pulang atau menahan 315 rakyat Korea Utara yang tamat permit kerja diputuskan oleh saya hari ini.

"Kerajaan akan memberikan penghasilan terbaik bukan saja dalam hubungan diplomatik tetapi kemanusiaan," katanya ketika ditemui di PWTC di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, rundingan dengan wakil Korea Utara sedang berjalan ketika ini dan kerajaan memberikan keutamaan kepada sembilan rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang.

"Setakat ini tiada tuntutan rasmi daripada waris Kim Jong-nam untuk menuntut jasad itu.

"Namun jika ada permintaan daripada keluarga mangsa beberapa pendekatan akan dilakukan iaitu mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menyerahkan jasad kepada keluarga melalui Kementerian Luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 3:00 PM