LATIFF (kiri) belum pasti beraksi kerana cedera.
LATIFF (kiri) belum pasti beraksi kerana cedera.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim menuntut pemainnya beraksi lebih 100 peratus dalam misi untuk menumbangkan pasukan Liga Super, T-Team yang juga pasukan bersaudara pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Selain itu pengendali berusia 66 tahun itu turut mengharapkan dua jentera tengah iaitu kapten Latiff Suhaimi dan Shahrin Sapein supaya cepat sembuh bagi memperkuatkan posisi itu.

“Setakat ini kecederaan Shahrin menampakkan perkembangan positif untuk sembuh dan dijangka boleh beraksi Sabtu ini, tapi tahap kecederaan Latiff belum dapat dipastikan sama ada mampu beraksi atau tidak.

“Namun saya harap dua pemain tengah itu mampu pulih dalam masa terdekat kerana kami memerlukan khidmat dua pemain itu untuk memperkukuhkan jentera tengah dalam aksi penting itu,” kata Irfan.

Dalam undian bulan lalu, dua pasukan bersaudara itu terpaksa menerima hakikat bertemu sesama sendiri seawal pusingan ketiga biarpun masing-masing berhajat untuk mara ke final.

Sebelum ini Latiff menyifatkan undian itu tidak adil buat pasukannya dan T-Team kerana ia satu kerugian yang besar bukan hanya kepada kedua-dua pasukan tetapi tempiasnya juga kepada penyokong dan juga kerajaan negeri yang mengeluarkan kos besar untuk pasukan berkenaan.

Kapten T-Team Hasbullah Awang turut menyatakan nada terkejut dengan undian pusingan ketiga Piala FA itu yang sepatutnya tidak berlaku seawal pusingan ketiga.

Pada aksi pusingan kedua Terengganu terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan FELCRA FC 1-0 begitu juga dengan T-Team terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti sebelum menang 4-2 menundukkan ATM selepas terikat 1-1 hingga masa tambahan.

Pemenang antara dua pasukan itu akan sama ada Kedah atau Perak pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:19 AM