ABDUL Latiff (tengah) kekal dengan Terengganu untuk saingan Liga Super 2018. -Foto fail
ABDUL Latiff (tengah) kekal dengan Terengganu untuk saingan Liga Super 2018. -Foto fail
Faizul Azlan Razak


PEMAIN tengah, Abdul Latiff Suhaimi mengakui terpaksa menolak empat tawaran pasukan lain untuk terus kekal menyarung jersi Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2018.

Kesetiaan bekas pemain kebangsaan itu kerana faktor keselesaan bermain bersama Terengganu di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim tanpa menghadapi sebarang masalah musim ini.

Bekas pemain T-Team dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih, Irfan Bakti serta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang masih memberi kepercayaan kepadanya menyarung jersi Skuad Penyu.

“Saya bersyukur diberi tawaran kontrak selama setahun lagi bersama Terengganu sekali gus menolak empat tawaran daripada pasukan negeri dan kelab lain.

“Saya menolak tawaran lain kerana sudah selesa di Terengganu dan tahun depan musim pertama kami bersaing di Liga Super selepas setahun bermain dalam Liga Perdana,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia berharap tahun kedua mampu meningkatkan mutu permainannya dan menyasarkan pasukannya berada dalam kelompok ketiga terbaik dalam saingan Liga Super.

Katanya, dia mengakui cabaran dalam Liga Super lebih mencabar berbanding Liga Perdana kerana perlu bersaing dengan pasukan, pemain dan corak permainan yang berkualiti.

“Saya percaya dengan percaturan Irfan Bakti dan kehadiran pemain baharu mampu memantapkan pasukan. Harapan saya ialah mahu membawa Terengganu merebut satu piala yang dipertandingkan musim depan,” katanya.

Abdul Latiff antara 12 pemain musim ini yang dikekalkan Irfan Bakti bagi membawa cabaran Terengganu untuk mengharungi Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:54 PM