KANG Chol keluar dari Kedutaan Korea Utara pada 28 Februari lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
KANG Chol keluar dari Kedutaan Korea Utara pada 28 Februari lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Kerajaan Korea Utara perlu belajar dan menghormati hubungan diplomatik antara dua negara bagi kepentingan menyelesaikan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengusiran Duta Korea Utara, Kang Chol dalam masa 48 jam bukan dibuat oleh Kementerian Luar semata-mata tetapi keputusan itu juga sebenarnya dibuat oleh kabinet.

"Saya rasa kita sudah berikan mesej yang jelas kepada Korea Utara yang kita serius menanggani masalah itu... jangan sesekali manipulasi isu ini kerana kita sudah menjalankan siasatan secara profesional termasuk bukti yang ditemui forensik dalam ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berdefinisi tinggi.

"Oleh itu, mereka harus menghormati hubungan diplomatik kita dan bukan hanya melihat pada isu ini sebagai isu rakyat Korea Utara (dalaman) tetapi sebaliknya sebagai isu antarabangsa dan saya fikir Korea Utara perlu belajar menghormati negara lain," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat tertutup di Bangunan UMNO di sini, hari ini.

Semalam, Kang Chol gagal menghadirkan diri di Wisma Putra susulan pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 12:04 PM