EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi pembuatan anyaman buluh.
EMILY menunjukkan sebahagian daripada koleksi pembuatan anyaman buluh.
BULUH dianyam teliti mengikut motif yang diinginkan.
BULUH dianyam teliti mengikut motif yang diinginkan.
MESIN jahit turut digunakan untuk kemasan luar.
MESIN jahit turut digunakan untuk kemasan luar.
PEKERJA di Seri Elf Enterprise menganyam buluh untuk dijadikan beg dan hiasan.
PEKERJA di Seri Elf Enterprise menganyam buluh untuk dijadikan beg dan hiasan.
SNARTY bangga dengan pencapaiannya memajukan produk kraf tradisional Sabah.
SNARTY bangga dengan pencapaiannya memajukan produk kraf tradisional Sabah.
KOLEKSI kraf hasil rimba milik Seri Elf Enterprise sedia untuk dijual.
KOLEKSI kraf hasil rimba milik Seri Elf Enterprise sedia untuk dijual.
PRODUK kraftangan keluaran Magic Bamboo.
PRODUK kraftangan keluaran Magic Bamboo.
Siti Salmiah A Hamid


Seni kraf beg tangan wanita daripada buluh menjadi kebanggaan Kampung Batu Lunguyan, Keningau, Sabah apabila ia banyak diusahakan oleh masyarakat tempatan sejak turun-temurun.

Sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2017, baru-baru ini, kunjungan ke perkampungan kraf itu amat mempersonakan dan daya kreativiti penduduk yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan buluh amat dikagumi.

Emily Jeneble @ Nurfarain Abdullah, 36, sudah 20 tahun menceburi bidang kraf yang dipelajari daripada ibunya yang kini menjadi warisan sejak 50 tahun lalu untuk diteruskannya, malah turut diperluaskan pasarannya dengan bantuan teknologi Internet hari ini.

“Minat menganyam buluh sudah ada sejak kecil kerana saya sering memerhatikan nenek yang menganyam sirung dan buk buk. Kemudian emak menurunkan ilmunya membolehkan kami adik-beradik pandai menganyam,” katanya.

Uniknya, produk beg Emily dihasilkan daripada buluh poring yang diakui tahan lasak.

Emily mengakui, proses pengambilan buluh berkenaan bukan sesuatu yang mudah namun kini tumbuhan berkenaan menjadi sebahagian daripada tanaman di perkampungannya selain diperoleh di Tenom dan Tambunan.

“Kebiasaannya, saya sendiri yang mengambil buluh bersama pekerja dan memilih buluh yang sudah matang saja untuk dijadikan produk.

“Kulit buluh dihiris dengan cermat seterusnya dicelup dengan pewarna mengikut beg yang ingin dibentuk.

“Ia dijemur dan dikeringkan sebelum proses anyaman dibuat. Hirisan buluh perlu kering sepenuhnya bagi mengelakkan ia rosak ketika atau sebelum anyaman,” kata pemilik Syarikat Seri Elf Enterprise ini.

Proses pembuatan produknya dijalankan di Bengkel Pusat Kraftangan Kampung Batu Lungunyan, malah ia turut menawarkan peluang pekerjaan kepada wanita di kampung berkenaan.

Keunikan beg moden anyaman tangan ini mendapat permintaan tinggi bukan saja dari Semenanjung, malah turut ditempah pelancong dari Itali dan Jerman.

Penulis akui, beg yang dihasilkan dengan tangan itu memiliki ketelitian dan halus pembuatannya berbanding beg kraf keluaran asing yang dijual secara terbuka.

Apatah lagi, motif tradisional suku Dusun menyerlahkan lagi pembuatan anyaman berkenaan.

“Setiap motif menceritakan asal usul masyarakat dan kisah yang diwarisi turun-temurun. Misalnya, corak bulat mewakili bulan terang selain pelbagai motif lain seperti batu permata, bunga cina, paku pakis, hujan rintik dan kepala lalat.

“Barangan yang dihasilkan memiliki keistimewaan tersendiri kerana hasil anyaman turut memiliki ciri-ciri moden seperti penggunaan pvc, kulit dan kanvas.

“Ia kemudian disempurnakan dengan teknik jahitan seperti teknik anyaman lipan, mata punai, ikatan saling kawa atau ikatan tulang belut,” katanya.

Kesungguhan Emily membolehkan dia memperoleh hasil sehingga RM10,000 sebulan mengikut bentuk tempahan yang diterima menerusi media sosial, Instagram dan Facebook.

Pemilik Magic Bamboo, Snarty Raitom, 32, turut mengakui pembuatan anyaman berkenaan diwarisi turun-temurun dan dia bersyukur kerana berpeluang menuntut warisan berkenaan daripada ibunya, Julitah Kulinting.

Menurutnya, sejak 1984 keluarganya sudah membuka pusat jualan kraftangan yang mengetengahkan barangan anyaman buluh tetapi mula fokus pada jahitan beg sejak 2011.

“Saya menerima banyak permintaan untuk beg tangan yang memiliki ciri-ciri moden namun turut menghasilkan barangan lain seperti kotak tisu, kotak serba guna, beg kepit, poster, bakul bulat dan beg kain.

“Bagi lebih menarik, anyaman beg digabungkan dengan penggunaan pvc dan kulit bagi menonjolkan sifat eksklusif selain dihiasi dengan motif suku Murut tradisional.

“Motif berkenaan memiliki ceritanya tersendiri yang kebanyakannya diambil daripada kisah rakyat,” katanya.

Himpunan warna turut memainkan peranan dengan penggunaan rona terang seperti merah jambu, biru, oren, merah, putih dan ungu.

Penggunaan buluh poring terbukti sesuai untuk sebarang bentuk anyaman kerana tahan lama ditambah pula ideanya yang sering mengetengahkan koleksi moden beg wanita.

Tidak hairan apabila sentuhan wanita muda ini sering mendapat perhatian pembeli di laman sosial malah menerima tempahan dari Korea Selatan, China dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 10:56 AM