Reuters

Melbourne: Novak Djokovic (gambar) menarik nafas lega selepas layak ke final Terbuka Australia - final keempat sejak lima tahun lalu hasil kemenangan lima set ke atas juara bertahan Stan Wawrinka, pemain yang menyingkirkannya di Melbourne Park tahun lalu.

Djokovic yang mahu muncul pemain pertama memenangi lima gelaran Terbuka Australia sejak kejohanan itu diangkat sebagai aksi profesional pada 1968, sedikit bergelut sebelum menang 7-6(1) 3-6 6-4 4-6 6-0 semalam.

“Dua tahun lalu kami pernah bermain hingga lima set dan saya sedia mengulangi aksi sedemikian,” kata Djokovic. “Kami saling bertukar pukulan baik dan mencuba hingga maksimum.

“Stan pemain berkualiti. Saya mengharungi perlawanan sukar hari ini.”

Begitupun, cabaran pemain nombor satu dunia dari Serbia itu belum berakhir dan dia tidak boleh memikirkan untuk mengharungi aksi lebih mudah di final kerana lawan yang bakal dihadapinya esok ialah Andy Murray.

“Pertemuan saya dengan Andy mengingatkan kembali pertemuan kami ketika berusia 12 tahun. Itulah kali pertama kami bertanding,” kata Djokovic. “Sudah lama kami berkawan dan seronok dapat menentangnya di final.”

Sementara itu, Wawrinka enggan menjadikan aksi tahun lalu sebagai perbandingan dan berkata: “Ini tahun baru dan apa yang berlaku musim lalu sudah menjadi sejarah.”

Semalam, tahap permainan kedua-dua pemain cukup tinggi dan masing-masing melakukan pukulan hebat selain kemahiran menguasai gelanggang.

Statistik permainan menunjukkan perbezaan yang sangat kecil dan mata kemenangan diperoleh Djokovic bukan mudah dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:14 AM