Nik Nor Nadiah menunjukkan keputusan STPMnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nik Nor Nadiah menunjukkan keputusan STPMnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Mas: Dia pernah kecewa kerana hanya memperoleh 5A sahaja dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu, namun keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hari ini menebus kekecewaan itu.

Nik Nor Nadiah Nordin, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Pasir Mas memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 bagi lima subjek diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah dan Ekonomi.

"Ketika SPM dulu saya kecewa kerana tidak cemerlang. Sejak itu saya berazam belajar bersungguh-sungguh untuk STPM dan tebus balik kekecewaan itu.

"Alhamdulillah impian untuk peroleh cemerlang bagi semua mata pelajaran tercapai dan ini adalah hadiah paling bermakna buat diri saya sendiri serta buat ibu dan ayah," katanya ketika ditemui, di sekolahnya di sini.

Nik Nor Nadiah bercadang untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan dan memilih jurusan pendidikan.

Katanya, dia mahu mengikut jejak langkah ayahnya dan ahli keluarga yang menjadi pendidik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 4:07 PM