KHAIRY ketika sidang media  program TN50 di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.
KHAIRY ketika sidang media program TN50 di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.
Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: “Keselamatan pasukan negara menjadi keutamaan saya. Dalam keadaan sekarang, saya bimbang dengan hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perlawanan Harimau Malaysia menentang Korea Utara bagi aksi Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang bulan depan.

Ia berikutan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara susulan kerajaan Malaysia memanggil pulang duta di negara berkenaan selepas insiden membabitkan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin republik itu Kim Jong-un.

Khairy berkata, beliau meminta pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memantau keadaan keselamatan di negara berkenaan terlebih dulu serta menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

“Ini suatu yang serius kerana hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara melalui fasa agak rumit susulan kes berkenaan.

“Justeru, kita minta jaminan AFC serta pandangan mereka dulu dan sekiranya dapat mengubah lokasi perlawanan, ia perlu diubah,” katanya pada sidang media berhubung program Jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan berkata, mereka memantau perkembangan terkini situasi di Pyongyang dan akan mendapatkan keputusan mengenai jaminan keselamatan daripada AFC.

Hamidin dipetik sebagai berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang maklumat mengenai status terbaru perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:08 AM