Kuala Lumpur: Luruan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) bakal melanda kawasan perairan timur semenanjung hingga Ahad ini tidak ada kaitan dengan ribut Jangmi di Filipina.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata, ribut Jangmi yang kini melanda Filipina didapati lemah dan berakhir di Laut Sulu perairan timur Sabah, kelmarin.

Menurutnya, dakwaan kononnya ribut Jangmi bakal melanda seluruh Semenanjung Malaysia adalah maklumat tidak benar berikutan ia sudah berakhir di perairan timur Sabah.

Dia berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat melalui media sosial mendakwa ribut Jangmi bakal melanda seluruh semenanjung Malaysia adalah palsu.

“Ketika ini, Meteorologi hanya mengesan luruan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

“Selain itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dikesan berlaku di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu. Ia dijangka berterusan sehingga Ahad ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, luruan angin ini boleh menyebabkan angin kencang selaju 50 hingga 60km/j yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa Jabatan Meteorologi sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 11:13 PM