IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Safuri Kamarudin


Baling: Lima penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak dapat turun ke kaki Gunung Baling, di sini, selepas seorang daripada mereka tergelincir dan mengalami kecederaan.

Nor Atirah Mohamad, 23, terseliuh kaki kiri selepas tergelincir ketika menuruni gunung itu menyebabkan pergerakan mereka terjejas.

Difahamkan, semua lima penuntut itu mula mendaki gunung berkenaan pada kira-kira 5 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan selepas seorang daripada mereka tercedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.44 pagi.

Katanya, 12 anggota dibantu Team Penyelamat Kedah (SARKED) dan Sahabat Bomba Baling bergegas ke lokasi.

“Operasi menyelamat lancar dan kita mengambil kira-kira tiga jam untuk membawa mereka ke kaki gunung,” katanya yang mengesahkan mangsa kemudian dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, penuntut, Mohamad Aqil Mohamad Khalil, 22, berkata: “Kami dah lama rancang nak panjat gunung itu. Ini kali pertama mendaki Gunung Baling.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 2:52 PM