Anggota penyelamat membantu mangsa yang cedera di puncak Gunung Baling. FOTO ihsan bomba
Anggota penyelamat membantu mangsa yang cedera di puncak Gunung Baling. FOTO ihsan bomba
Safuri Kamarudin


Baling: Seorang pendaki cedera di buku lali kanan selepas tergelincir ketika menuruni puncak Gunung Baling, hari ini.

Siti Normarfuza Mat Rejab, 29, dari Taman Ria, Padang Serai dikatakan tergelincir ketika turun daripada puncak itu, 9.30 pagi.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian 10.30 pagi.

Katanya, seramai 20 anggota penyelamat terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, Team Penyelamat Kedah (SARKED), Sahabat Bomba Baling, Bomba Sukarela Belia 4B, Jawatankuasa Bencana Alam Majlis Daerah Baling dan Briged Bencana Parlimen Baling serta jurupandu Gunung Baling terbabit dalam operasi menyelamat.

"Mangsa mendaki Gunung Baling bersama empat rakan pada 3 pagi tadi dan menuruni puncak itu 9.30 pagi sebelum tergelincir dan cedera di kaki.

"Kami mengambil masa dua jam untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung," katanya ketika ditemui.

Mohd Sufian berkata, mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk menerima rawatan.

Rakan mangsa, Syamsyarizal Mohd Sharif, 27, berkata, mereka berpakat untuk mendaki Gunung Baling dua minggu lalu.

Dia berkata, mereka pertama kali mendaki untuk melihat keindahan dari puncak gunung itu dan tidak menyangka seorang rakannya ditimba musibah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:13 PM