Dua remaja perempuan cedera di puncak Gunung Baling dipercayai akibat tergelincir 2 petang tadi. FOTO Safuri Kamarudin
Dua remaja perempuan cedera di puncak Gunung Baling dipercayai akibat tergelincir 2 petang tadi. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Dua remaja perempuan cedera di puncak Gunung Baling dipercayai akibat tergelincir, 2 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.05 petang dan sampai ke kaki Gunung Baling jam 3.12 petang.

Beliau berkata, seramai 18 anggota bomba termasuk pasukan khas mencari dan menyelamat (SARKED) Kedah bergegas naik ke atas gunung untuk operasi menyelamat.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan dikatakan terseliuh kaki manakala seorang lagi mengalami sesak nafas.

Kedua-dua remaja perempuan berusia 20-an itu daripada kumpulan pendaki yang berlainan dan mendaki gunung itu jam 9 pagi tadi dan mula bergerak turun petang ini kerana cuaca gelap dan hujan.

Rakan seorang mangsa, Nazreen Huzaimi, 20, dari Seberang Perai berkata, mereka seramai 14 orang mendaki Gunung Baling jam 9 pagi.

Katanya, dia mengetahui rakannya mengalami kecederaan selepas menghubungi mereka apabila tujuh rakannya tidak turun.

"Kami tujuh orang sampai awal di kaki gunung dan menunggu tujuh rakan lain. Selepas beberapa ketika, mereka tidak turun, saya menghubungi mereka sebelum dimaklumkan seorang rakan kami dikenali Wan Nor Aida,21, sesak nafas ketika menuruni gunung itu, " katanya ditemui di kaki Gunung Baling, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:12 PM