Safuri Kamarudin


Baling: Penuntut kolej swasta berusia 19 tahun cedera akibat tergelincir selepas mengalami kekejangan otot ketika mendaki Gunung Baling, pagi tadi.

Nurul Atikah Najihah Abdul Aziz bersama 21 penuntut Kolej Lagenda, Sungai Petani, dikatakan mendaki gunung setinggi 500 meter itu kira-kira jam 6 pagi selepas sebulan merancang melakukannya.

Ketika sampai di ketinggian 350 meter, mangsa mengalami kekejangan otot dan terjatuh menyebabkan kaki kirinya tidak boleh bergerak.

Kumpulan itu kemudian mengambil keputusan berpatah balik dan menghubungi anggota penyelamat.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.09 pagi dan sampai ke tempat kejadian lima minit kemudian.

Katanya, seramai 22 anggota mendaki gunung itu untuk operasi menyelamat terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Team Penyelamat Kedah (SARKED), Sahabat Bomba Baling, Bomba Sukarela Gerakan Belia 4B Baling, Jawatankuasa Bencana Alam Majlis Daerah Baling dan Biro Bencana Parlimen Baling.

"Kami mengambil masa tiga jam untuk membawa mangsa ke kaki gunung," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Mohd Sufian berkata, mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 3:08 PM
Pasukan menyelamat membawa mangsa turun ke kaki gunung. FOTO Safuri Kamarudin
Pasukan menyelamat membawa mangsa turun ke kaki gunung. FOTO Safuri Kamarudin