ILYA (depan dua dari kanan) bersama pelakon, kru produksi dan tetamu yang hadir menonton teater Cinta Terhalang.
ILYA (depan dua dari kanan) bersama pelakon, kru produksi dan tetamu yang hadir menonton teater Cinta Terhalang.

Biarpun hanya berpeluang menimba ilmu menerusi bengkel introduksi teater selama tiga minggu daripada Ilya Rusaidi dan pelajar unit teater kumpulan Adikarma Universiti Sains Malaysia, barisan pelakon teater Cinta Terhalang tetap memberikan persembahan menarik dalam pementasan yang berlangsung di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia, baru-baru ini.

Lebih menarik, kebanyakan pelakon bukannya pelajar jurusan seni tetapi daripada pelbagai fakulti lain seperti biologi, fizik, arkitek, komunikasi dan pendidikan.

Hanya 20 peratus daripada pelakon teater arahan Ilya daripada karya Rusaidi Ramli ini mengambil jurusan seni, namun kebanyakan mereka tidak pernah terbabit dalam teater mahupun pengurusan produksi teater.

Ilya berkata, persembahan dibuat bagi memberi pendedahan pementasan dan produksi teater kepada pelajar bukan bidang seni seperti yang ditunjuk ajar dalam bengkel yang diadakan.

“Saya ingin menunjukkan bahawa seni itu luas dan bukan hanya dapat dilaksanakan pelajar bidang seni, malahan pelajar jurusan lain juga dapat terbabit secara langsung, sekali gus menjadi sebahagian aktiviti sampingan yang sihat di kampus.

“Bengkel introduksi teater bukan saja melatih disiplin lakonan semata-mata bahkan juga aspek pengurusan pentas serta pengurusan produksi pementasan dari awal hingga akhir dan hasilnya dapat dilihat pada malam pementasan berlangsung.

“Cinta Terhalang dipentaskan menerusi hasil kerjasama Kelab Adikarma di bawah kelolaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM bersama Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia,” kata pelajar Sarjana Sastera Tradisional yang masih melanjutkan pengajian di bawah Pusat Pengajian Seni USM ini.

Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Omar Bidin memuji usaha itu dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.

“Program sebegini amat menarik kerana menggabungkan pelajar pelbagai fakulti, sekali gus mengeratkan hubungan mereka.

“Pengurusan bengkel dan pementasan teater 100 peratus dibuat oleh pelajar sendiri. Tahniah buat Ilya atas usaha gigihnya serta cetusan idea dan pelaksanaan yang dibuat,” katanya.

Pementasan ini berjaya menarik kehadiran ramai penonton antaranya Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni, Dr A S Hardy Shafi, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang, Norsyahrul Syafsaidatina Ismail, aktivis makyung Rosnan Rahman serta aktivis teater Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:22 AM