TENAGA kerja dan pelakon Dima Apandi.
TENAGA kerja dan pelakon Dima Apandi.
POSTER Dima Apandi.
POSTER Dima Apandi.
Ridzuan Abdul Rahman


Peminat teater sekitar ibu kota boleh menyaksikan pementasan menarik sempena Festival Teater 2.0 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung di Panggung Seni, Pusat Kebudayaan Universiti sejak 23 November lalu dan berakhir pada 30 November ini.

Festival membabitkan 11 pementasan itu anjuran Kelab Teater Rimba UKM dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM serta Persatuan Alumni Teater Rimba Malaysia.

Pada 28 November ini, jam 8.30 malam penonton akan disajikan dengan pementasan teater Dima Apandi yang diinspirasi daripada naskhah Sasau karya Hashim Yassin.

Ia diolah semula dan diarahkan Azerai Azmi, pelajar pascasiswazah Fakulti Pendidikan UKM dan dipentaskan kumpulan The Pendeta’s Thespian, Kolej Pendeta Za’ba.

Pengetua Kolej Pendeta Za’ba UKM, Profesor Madya Dr Ahmad Sunawari Long berkata, karya yang bakal dipentaskan itu cukup mencabar kerana Sasau naskhah berat.

“Sebelum ini pelajar selesa dengan naskhah komedi dan ringan. Sasau berbeza kerana ia sarat dengan pemikiran sastera yang diperindahkan dengan bahasa puitis.

“Saya puji Azerai kerana meringankan sedikit penceritaan dalam pementasan nanti demi menjaga kualiti naskhah asal.

“Ia perlu memandangkan barisan pelakon terdiri daripada pelajar baru yang masih mentah dan sukar menterjemah sub teks yang terkandung dalam naskhah ini. Namun, mesej yang ingin disampaikan masih sama,” katanya.

Azerai pula memaklumkan cabaran terbesar yang perlu dihadapinya adalah kekangan masa.

“Pelakon dan tenaga kerja produksi terikat dengan pelbagai komitmen sedangkan masa untuk menjayakan pementasan ini sangat suntuk.

“Saya sendiri perlu membahagikan masa dengan teater Jalan Mati yang mewakili Selangor dalam Festival Teater Malaysia 2016 (FTM2016) di Kedah yang berakhir esok.

“Bahkan saya hampir menarik diri mengarah teater ini kerana dalam masa sama perlu fokus kepda pengajian. Saya teruskan projek ini selepas melihat komitmen pelakon dan kru produksi yang sanggup latihan pada tengah malam sejurus tamat latihan Jalan Mati.

“Saya berterima kasih kepada Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) serta aktivis dari Kumpulan Seni Ceritera iaitu Pak Malit yang turut membantu menyedikan prop dan busana,” katanya.

Pementasan daripada The Pendeta’s Thespian ini membabitkan 25 pelajar semester 1 Kolej Pendeta Za’ba. Kumpulan ini ditubuhkan September 2016

Teater Dima Apandi dijayakan Muhammad Nadzim sebagai Dima Apandi, Azizul Exmal (Mura Apandi), Rabiatul Adawiyah (Salina Assagoff) dan Nur Alissya sebagai Ani Imani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 8:02 AM