Sum menunjukkan parang yang dirampas daripada kumpulan samun kedai serbaneka 24 jam. FOTO Effendy Rashid
Sum menunjukkan parang yang dirampas daripada kumpulan samun kedai serbaneka 24 jam. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang lelaki gagal meragut beg pelancong warga Switzerland di Jalan Raja Ekram, di sini, awal pagi semalam, apabila dicekup selepas bergelut dengan mangsa.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, penjenayah berusia 23 tahun ditahan selepas dua anggota polis yang sedang membuat rondaan jenayah melihat mangsa sedang bergelut dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, warga Switzerland berusia 20 tahun itu baru dua hari berada di bandar raya ini.

"Mangsa dan suspek mengalami kecederaan ringan akibat pergelutan.

"Beg mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad kredit, lesen memandu dan wang tunai diperoleh semula," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas motosikal jenis Honda dinaiki suspek. Lelaki itu direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana ragut.

Sementara itu, Sum berkata, polis turut berjaya membanteras dua kes jenayah samun di bandaraya ini.

“Kes pertama membabitkan dua lelaki yang aktif memecah cermin kereta dan melarikan barang berharga sekitar Ipoh. Mereka diberkas ketika sedang cuba memecah kereta di Jalan Laxamana, Pekan Bahru Ahad lalu, kira-kira jam 3 pagi.

"Satu lagi kejayaan adalah tangkapan empat lelaki yang terbabit kegiatan samun bersenjata parang di kedai serbaneka 24 jam di Bercham, Ahad lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 3:06 PM