DAKWAAN culik yang menjadi viral di Facebook.
DAKWAAN culik yang menjadi viral di Facebook.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Dakwaan kanak-kanak diculik di Taman Perpaduan, Ipoh, kelmarin, yang menjadi viral di laman sosial sebenarnya adalah kes cubaan samun dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan 11.30 pagi kelmarin daripada lelaki berusia 33 tahun mengenai cubaan samun dilakukan lelaki bersenjatakan pisau.

Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa ketika anak mangsa berada di hadapan rumah menyebabkan mangsa cuba mempertahankan diri namun suspek cuba menyerangnya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya mengambil sebatang kayu menyebabkan suspek melarikan diri.

"Polis yang menjalankan siasatan dan menahan suspek lelaki semalam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan bukannya culik seperti diviralkan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 2:36 PM