Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata dikenali sebagai Geng Guna yang menyasarkan mangsa warga emas sekitar bandar raya ini sejak Ogos lalu, dengan tertangkapnya tiga suspek yang kini direman lima hari bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tiga remaja lelaki dipercayai ahli kumpulan samun terbabit yang berusia 17, 18 dan 19 tahun itu berjaya diberkas hasil Ops Cantas Khas yang dijalankan.

"Sejak Ogos lalu beberapa kejadian samun berkumpulan membabitkan mangsa warga emas dilaporkan di sekitar bandar raya Ipoh terutama di kawasan Bercham, di sini yang menggunakan modus operandi menolak mangsa dari belakang sebelum merampas barangan milik mangsa.

"Kumpulan penjenayah ini juga tidak teragak untuk mencederakan mangsa sekiranya mangsa melawan mereka," katanya.

Menurutnya, bertindak atas kejadian itu pihak polis dari Cawangan Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menubuhkan pasukan khas yang membuat siasatan dan pemantauan yang akhirnya hasil risikan berjaya mengesan serta memberkas ketua kumpulan samun berkenaan.

"Ketua kumpulan itu berserta dua ahli kumpulannya ditangkap di kawasan Tambun dan Bercham, di sini dan dengan tangkapan serta rampasan yang dibuat polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan ragut yang dilakukan kumpulan ini.

"Barangan yang dirampas antaranya adalah dua motosikal yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun, sebuah motosikal yang dilaporkan disamun pada Mei lalu dan satu rangka motosikal yang dilaporkan di curi pada Julai lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 4:42 PM