PETUGAS pilihan raya dan anggota polis memunggah kotak undi untuk diagihkan ke beberapa pulau kecil di Aceh menjelang pilihan raya tempatan Indonesia, semalam. - EPA
PETUGAS pilihan raya dan anggota polis memunggah kotak undi untuk diagihkan ke beberapa pulau kecil di Aceh menjelang pilihan raya tempatan Indonesia, semalam. - EPA

Jakarta: Selepas berkempen selama empat bulan, puluhan juta penduduk di Indonesia dijangka mengundi dalam pilihan raya tempatan yang dijalankan secara serentak hari ini.

Daripada 101 pemilihan yang diadakan di 101 wilayah, daerah dan bandar, perebutan gabenor Jakarta adalah yang paling menjadi tumpuan.

Penganalisis politik dari Universiti Paramadina, Hendri Satrio berkata, apa yang berlaku dalam pilihan raya presiden 2014 membuatkan rakyat percaya pilihan raya Jakarta memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik untuk pilihan raya presiden 2019.

Pada 2014, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden, meninggalkan kerusi gabenor Jakarta untuk timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama yang beragama Kristian.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok yang dibicarakan atas tuduhan menghina agama Islam kini bertanding untuk mempertahankan jawatan itu.

Ahok yang berasal dari etnik Cina ditentang bekas menteri pelajaran, Anies Baswedan dan anak bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Yudhoyono.

“Ramai percaya sesiapa yang memenangi pilihan raya Jakarta mempunyai permulaan kuat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

“Ini pengajaran yang kita belajar dari Jokowi,” katanya kepada portal Jakartapost.

Jakarta yang terletak di Jawa dianggap sebagai tumpuan utama setiap kali pilihan raya presiden kerana separuh daripada populasi penduduk Indonesia tinggal di pulau itu.

Tambahnya, walaupun semua tiga calon yang bertanding dalam pilihan raya Jakarta tahun ini mendakwa tidak tertarik untuk menjadi calon presiden atau naib presiden, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

“Lihat sahaja Jokowi. Dia sebelum ini berkata, tidak mahu bertanding dalam pilihan raya pada 2014 tetapi fakta menunjukkan sebaliknya,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:16 AM