ORANG ramai bertakbir ketika perhimpunan di Masjid Istiqlal, semalam. - EPA
ORANG ramai bertakbir ketika perhimpunan di Masjid Istiqlal, semalam. - EPA

Jakarta: Puluhan ribu orang berhimpun aman di Masjid Istiqlal, Jakarta, untuk bersolat dan berdoa beramai-ramai dengan pemimpin agama menggesa mereka menyokong calon beragama Islam ketika pilihan raya presiden untuk gabenor bandar itu, minggu ini.

Jutaan penduduk Jakarta dijangka mengundi Rabu ini untuk melantik gabenor baru bandar itu, dalam pertandingan yang dilihat penganalisis sebagai ‘pertarungan proksi’ untuk pilihan raya presiden pada 2019.

Lebih 100,000 orang dilaporkan hadir tanpa menghiraukan hujan lebat, kata jurucakap polis kebangsaan, Rikwanto.

Orang ramai mula membanjiri masjid itu sejak waktu Subuh untuk menunaikan solat secara berjemaah dan kawalan ketat dilakukan di sekitar masjid itu dengan tentera serta polis bersenjata mengawal keadaan.

Di Jakarta, calon berketurunan Cina dan beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok bakal melawan dua calon Muslim, anak bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Harimurti Yudhoyono, serta bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.

Ahok menjalani kempennya dalam pada dia menjalani perbicaraan kerana menghina al-Quran.

Sementara itu, Jakarta Globe melaporkan dua wartawan tempatan mendakwa diganggu penunjuk perasaan ketika membuat liputan perhimpunan berkenaan, namun keadaan berjaya dikawal tentera yang bertugas.

Semalam hari terakhir sebelum tempoh bertenang berkuat kuasa apabila calon dan penyokong mereka dilarang berkempen. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:01 AM