Anggota APM melakukan pemantauan di Pantai Telok Gong untuk mengesan kehadiran buaya tembaga yang muncul di perairan itu. FOTO Zairee Mohd Yasak
Anggota APM melakukan pemantauan di Pantai Telok Gong untuk mengesan kehadiran buaya tembaga yang muncul di perairan itu. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


Alor Gajah: Pengunjung yang beriadah di kawasan pantai sepanjang lapan kilometer antara Tanjung Bidara sehingga ke Telok Gong, Masjid Tanah, dinasihatkan berhati-hati ketika mandi berikutan kehadiran buaya tembaga di perairan itu semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Md Rawi Mahmud ketika dihubungi berkata, penduduk tempatan memang mengetahui kehadiran buaya misteri itu namun reptilia terbabit tidak pernah menyerang manusia.

"Pengunjung terutama orang luar diminta berhati-hati, ketika beriadah bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini.

"Agensi keselamatan berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga sedar dengan kehadiran buaya misteri itu dan sentiasa menempatkan anggota bagi melakukan pemantauan," katanya.

Sehingga 6 petang tadi anggota APM melakukan pemantauan tidak mengesan kelibat buaya misteri berkenaan.

Segelintir penduduk tempatan percaya buaya tembaga itu adalah generasi terbaru kembar manusia iaitu penduduk yang pernah menetap di kawasan itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 7:11 PM