ANAK buaya ditemui terdampar di Pantai Saujana, Port Dickson. FOTO ihsan APM
ANAK buaya ditemui terdampar di Pantai Saujana, Port Dickson. FOTO ihsan APM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seekor anak buaya ditemui terdampar di Pantai Saujana, Batu 4, di sini, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan anak buaya berkenaan pada 1.29 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota APM mendapati terdapat seekor anak buaya dipercayai jenis tembaga dengan anggaran berat sebanyak 800 gram terdampar di pantai Saujana, Batu 4 dalam keadaan keletihan," katanya.

Pada mulanya anggota APM ingat anak buaya itu sudah mati.

"Apabila ia diusik dengan alat yang dibawa, ia bergerak dan baru tahu ia masih hidup dan perlu diselamatkan.

"Mungkin kerana keletihan, ia tidak melawan ketika ditangkap dengan alatan khas untuk dimasukkan ke dalam raga besi sebelum di hantar ke pihak Jabatan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Anak buaya ini mungkin terpisah daripada ibunya dan dipukul ombak menyebabkan ia terdampar keletihan," katanya .

Mohamad Azri berkata, penemuan anak buaya itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana sudah ramai melihat kelibat buaya tembaga di perairan Port Dickson.

"Kami percaya jika ada anak buaya, pasti ada ibunya dan berharap agar pengunjung pantai harus berhati-hati ketika beriadah di pantai sekitar Port Dickson.

"Pihak APM menasihatkan orang ramai yang menemukan buaya atau hidupan liar yang lain agar memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan segera," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:04 PM