PERSEMBAHAN kendo mewarnai pembukaan Hari Kebudayaan Jepun di Muzium Negara.
PERSEMBAHAN kendo mewarnai pembukaan Hari Kebudayaan Jepun di Muzium Negara.
MUHAMMAD Shahin teruja mendalami budaya Jepun.
MUHAMMAD Shahin teruja mendalami budaya Jepun.
DEMONSTRASI penyediaan sushi ketika Hari Kebudayaan Jepun.
DEMONSTRASI penyediaan sushi ketika Hari Kebudayaan Jepun.
Nurul Husna Mahmud


KAWAII! Istilah bahasa Jepun yang bermaksud cantik, dalam menggambarkan keindahan seni budaya dari negara matahari terbit itu dipertontonkan kepada pengunjung Hari Kebudayaan Jepun di Muzium Negara baru-baru ini.

Program sehari itu adalah anjuran Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara dan Kedutaan Jepun di Malaysia yang membawa kebudayaan Jepun dari makanan sehinggalah kepada seni mempertahankan diri untuk dihayati pengunjung.

Malah seawal laluan masuk ke kawasan Dataran Muzium Negara lagi, mata penulis 'terpaku' dengan ruang persalinan menempatkan deretan yukata.

Yukata ialah persalinan tradisi Jepun yang diperbuat daripada kain kapas dan pengalaman mengenakan pakaian tradisi itu antara aktiviti yang mendapat sambutan pengunjung.

Pengunjung turut dipertontonkan dengan persembahan mendebarkan oleh penggiat seni mempertahankan diri kendo.

Kendo adalah seni bermain pedang diperbuat daripada buluh yang pada asalnya untuk samurai berlatih kemahiran mereka.

Penganjuran acara kebudayaan itu membantu pengunjung apabila tidak perlu terbang beribu kilometer, sebaliknya dengan hanya memandu kereta ke Muzium Negara sudah boleh menikmati pengalaman berada di negara matahari terbit itu.

Menurut salah seorang peminat acara kebudayaan Jepun, Muhammad Shahin Che Saad, dia sudah mengikuti pelbagai program anjuran JFKL sejak enam tahun lalu.

PEMAKAIAN Yukata tampak manis digayakan oleh pengunjung.
PEMAKAIAN Yukata tampak manis digayakan oleh pengunjung.

"Minat atau gemarkan kesenian berkaitan Jepun sudah tercetus sejak di bangku sekolah selain terdedah dengan animasi Jepun (anime).

"Tarikan mengenai kesenian dan kebudayaan pada usia kini pula, saya berminat untuk mempelajari sukan tradisi seperti Kendo.

"Mungkin juga pada masa depan saya harap ada pula acara memanah tradisional Jepun yang mempunyai keunikan dan keistimewaan sendiri.

"Saya asal ada peluang atau dengar penganjuran festival seperti Bon Odori, saya akan luangkan masa untuk sertai," katanya.

Menyentuh keistimewaan mengenai kebudayaan Jepun, kata pemuda berusia 27 tahun itu, terdapat sedikit persamaan antara budaya negara itu dengan kebudayaan di Malaysia.

KENDAMA permainan nostalgia kanak-kanak Jepun.
KENDAMA permainan nostalgia kanak-kanak Jepun.

"Nilai murni dan adab seperti menghormati orang lebih tua dan orang sekeliling antara yang diajar.

"Itu juga diasuh dalam nilai murni masyarakat kita. Tidak hairanlah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggalakkan dasar pandangan ke Timur atas nilai murni dan peradaban masyarakat Jepun itu sendiri," katanya.

Bagi pengunjung dari Taiping, Perak, Nur Amirah Najwa Ghazali, 23, pula kehadiran bersama tujuh ahli keluarga pada mulanya ingin melawat Muzium Negara sempena cuti persekolahan dan ternyata teruja dengan pengalaman itu.

"Menyeronokkan apabila pendekatan bukan sahaja ada pameran patung yang comel, malah ia memberi pendedahan langsung kepada budaya masyarakat Jepun.

"Contoh permainan kendama memang menguji koordinasi mata dan tangan. Anak buah paling teruja.

"Saya juga teruja melihat kendo iaitu seni bermain pedang menggunakan pedang kayu atau buluh.

PAMERAN patung yang dekat dengan kisah lagenda atau dongeng Jepun.
PAMERAN patung yang dekat dengan kisah lagenda atau dongeng Jepun.

"Jika sebelum ini tengok dekat televisyen atau komik Jepun, kini boleh pelajari secara dekat," katanya.

Dia berharap acara ini boleh dianjurkan lebih banyak atau serata Semenanjung Malaysia untuk memberi ramai peluang mengenali budaya Jepun.

Sementara itu, Pengarah JFKL, Tsukamoto Norihisa berkata, penganjuran hari kebudayaan Jepun sempena dengan pameran Ningyo, Art and Beauty of Japenese Dolls adalah satu peluang mendedahkan mengenai keindahan kebudayaan Jepun kepada umum.

"Ini satu bentuk kerjasama baik selaku pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan keindahan dan kebudayaan Jepun terutama etika dan adab murni sesuai dengan sentimen budaya tempatan.

"Kami mengangkat masyarakat Jepun didedahkan kepada umum seperti kendo, penyediaan sushi, cara pemakaian yukata dan banyak lagi.

"Kolaborasi bersama Jabatan Muzium Malaysia dengan menempatkan pameran kesenian patung Jepun di Muzium Negara dilihat satu bentuk kerjasama strategik untuk terus memperkenalkan budaya ini termasuklah program sehari kebudayaan Jepun ini," katanya.

MUHAMMAD Shawali dan Tsukamoto ketika pembukaan Hari Kebudayaan Jepun.
MUHAMMAD Shawali dan Tsukamoto ketika pembukaan Hari Kebudayaan Jepun.

Pihaknya mengalu-alukan lebih banyak kerjasama agar lebih banyak kebudayaan Jepun yang menarik dapat dikongsikan bersama pengunjung di Malaysia.

Bagi Timbalan Ketua Pengarah ( Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Mohamad Shawali Badi berkata, melihat sambutan menggalakkan dan reaksi positif pengunjung, pihaknya merancang menganjurkan program kebudayaan itu pada skala lebih besar untuk penganjuran atau kolaborasi pada masa akan datang.

"Melihat ramai pengunjung teruja daripada menyaksikan persembahan kendo hinggalah mencuba aktiviti kebudayaan yang ada, pihak Jabatan Muzium Malaysia berhasrat mengadakan skala lebih besar.

"Mungkin ada persembahan sketsa atau kesenian seperti tarian atau nyanyian. Begitu juga lebih banyak aktiviti yang boleh disertai pengunjung.

"Dengan itu ia bukan sahaja dapat memperlihatkan hubungan diplomasi erat kedua-dua negara, malah menjadi satu tempat rujukan mempelajari budaya dan adab murni Jepun boleh dicontohi rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 6:31 AM