Rosli Ilham


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman menangkap seekor buaya tembaga sepanjang lima meter seberat kira-kira 100 kilogram di tali air Kampung Paman, Kemaman, jam 5 petang semalam.

Reptilia itu mula muncul selepas banjir besar melanda Kemaman awal 2014 dan sering timbul di permukaan air terutama sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Paman Siti Mawartini Mamat berkata, sejak seminggu lalu, setiap malam penduduk melakukan pemantauan kerana bimbangkan kehadiran reptilia terbabit.

“Buaya ini sangat agresif dan tersesat di tali air ini selepas banjir besar 2014.

“Kini, kami lega dan tenang untuk hadapi banjir dan boleh beri tumpuan sepenuhnya kerana tidak terganggu dengan kehadiran buaya itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan PERHILITAN untuk membincangkan tempat sesuai bagi melepaskan buaya terbabit.

“Buat sementara, biarlah buaya itu ditempatkan di pejabat PERHILITAN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 3:42 PM