PEKAN lama pernah menjadi bandar kedua tersibuk akibat kegiatan ekonomi.
PEKAN lama pernah menjadi bandar kedua tersibuk akibat kegiatan ekonomi.
Nurul Husna Mahmud


ARANG batu antara hasil bumi penting dan masih diperlukan hari ini dalam menjana tenaga elektrik.

Merujuk kepada kepentingan sumber bumi itu, satu lokasi terpenting dan pernah menjadi penarik kepada British untuk mengaut keuntungan menerusi pelombongan arang batu ialah Pekan Batu Arang.

Percaya atau tidak, pekan kecil dalam daerah Gombak ini pernah menjadi bandar kedua terpenting selepas Kuala Lumpur apabila arang batu ditemui kali pertama pada tahun 1908.

Namun menariknya, penemuan itu dikatakan datangnya daripada orang Melayu sendiri iaitu Haji Abdul Hadi.

Dikatakan anak jati Bestari Jaya (Batang Berjuntai) ketika itu keluar mencari rotan dan kemudian menemui batu berwarna hitam.

Itu menjadi punca kepada pihak British giat memulakan operasi perlombongan sehinggakan ada kemudahan termasuklah sistem kereta api menghubungkan Batu Arang dan Kuang untuk mengangkut arang batu ke seluruh negara pada tahun 1915.

Pekan Batu Arang menjadi kawasan ekonomi terpenting di Selangor tahun 1913 hingga 1930-an.

Bagi peminat sejarah atau mahu merasai suasana kegemilangan pekan itu yang dikatakan cukup sibuk sekitar tahun 1930 hinggalah perang dunia kedua.

BANDAR warisan industri arang batu.
BANDAR warisan industri arang batu.

Jika hadir ketika ini, pengunjung boleh melihat kesan tinggalan sejarah dari aktiviti pelombongan arang batu.

Malah lebih tepat, pekan Batu Arang hari ini dibina di atas tapak aktiviti pelombongan arang batu suatu ketika dahulu.

Pengunjung boleh melihat perkembangan pelombongan arang batu menerusi beberapa tapak atau tinggalan sejarahnya. Dikatakan terdapat kira-kira 22 tapak atau tinggalan sejarah pelombongan arang batu boleh ditemui.

Paling menonjol ialah kilang batu-bata Brick Klin iaitu antara bangunan industri yang muncul hasil daripada aktiviti pelombongan itu.

TANDA batu memaparkan lokasi bersejarah iaitu Jambatan Keretapi.
TANDA batu memaparkan lokasi bersejarah iaitu Jambatan Keretapi.

Mana tidaknya menerusi aktiviti perlombongan, aktiviti pembinaan juga rancak yang mana penghasilan batu bata mencecah 450000 batu bata merah kelas pertama setiap bulan.

Penggunaan bata itu penting bagi pembinaan rumah kedai di pekan lama, asrama pekerja syarikat perlombongan arang batu, bangunan kakitangan kanan, lombong bawah tanah dan lombong terbuka.

Selain kilang bata terbabit, pengunjung boleh melawat Geotapak Bekas Lombong Batu Arang yang mana orang ramai boleh melihat kesan daripada aktiviti pelombongan.

Lokasi atau tempat tinggalan sejarah itu menyaksikan tempat penyimpanan longgokan arang batu terbesar dan bekas lombong terbuka kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.

MENARIK Geotapak menjadi lokasi warisan atau sejarah aktiviti pelombongan arang batu.
MENARIK Geotapak menjadi lokasi warisan atau sejarah aktiviti pelombongan arang batu.

Di sini juga boleh dapat gambaran bagaimana suasana bekerja dan kegigihan pekerja lombong mencari rezeki dengan persekitaran kerja yang ekstrim.

Hasil perlombongan ini, sebanyak 15.5 juta tan arang batu dikumpul dan pendapatan RM163.3 juta berjaya diperoleh dengan penjualannya meskipun hanya diniagakan di Tanah Melayu sahaja pada masa itu.

Terdapat dua kaedah melombong arang batu di pekan itu dan antaranya melombong di permukaan tanah (open cast) dan terowong dalam tanah.

Dikatakan terdapat 11 kawasan lombong terbuka diusahakan pada zaman itu manakala kira-kira 600 meter terowong sedalam 304.8 meter berselirat dikorek dan dibina bawah tanah Pekan Batu Arang untuk kerja melombong arang batu.

Orang ramai boleh juga mengunjungi Galeri Batu Arang, Tapak Tinggalan Jambatan Keretapi dan banyak lagi.

KEADAAN di kilang bata dulunya antara industri termoden pernah wujud di Tanah Melayu.
KEADAAN di kilang bata dulunya antara industri termoden pernah wujud di Tanah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 6:20 AM