BURUNG cenderawasih menjadi tarikan terbaru Zoo Kemaman.
BURUNG cenderawasih menjadi tarikan terbaru Zoo Kemaman.
BURUNG cenderawasih dikaitkan dengan pelbagai mitos.
BURUNG cenderawasih dikaitkan dengan pelbagai mitos.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Burung cenderawasih antara spesies unggas paling berharga dan sentiasa mendapat permintaan tinggi peminat di seluruh dunia berikutan pelbagai mitos yang dikaitkan dengan haiwan itu.

Mungkin ramai tidak tahu, Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman (TRMZK) adalah satu-satunya zoo di negara ini yang mempunyai 'haiwan syurga' itu dan burung cenderawasih adalah tarikan terbaru zoo berkenaan.

Burung cenderawasih atau nama saintifiknya 'Paradisaea apoda' kini boleh dilihat di TRMZK dari jarak dekat, malah pengunjung berpeluang merakam gambar burung unik itu sebagai kenang-kenangan.

Carian di Wikipedia mencatatkan burung cenderawasih berasal dari kayangan dan kononnya hanya minum air embun, makan awan dan apabila jatuh ke bumi, ia akan mati serta badannya tidak akan reput untuk seketika.

Itulah antara sebab burung cenderawasih mendapat perhatian sama ada hidup atau mati bagi melihat kecantikan semula jadinya berbanding burung lain.

Burung itu juga dikatakan membawa tuah, berkhasiat tinggi dalam perubatan, malah turut dikaitkan dengan pelaris bagi sesiapa yang memilikinya.

Malah, ia dipercayai berupaya untuk menjadi pendinding daripada ilmu hitam.

Tidak hairanlah sejak burung itu dibuka untuk tatapan umum pada 2013, ramai pengunjung dan peminat unggas tempatan serta luar negara datang ke TRMZK untuk melihat haiwan berkenaan.

Pengarah TRMZK, Abdul Halim Mamat berkata, burung cenderawasih itu menjadi tarikan utama di zoo itu sejak tahun lalu sehingga menenggelamkan beberapa haiwan lain.

"TRMZK adalah satu-satunya zoo di negara ini yang memiliki burung cenderawasih dan sehingga kini, kami memiliki dua ekor burung cenderawasih jantan.

"Kecantikan dan keunikan gelagat serta persembahan tarian burung ini menjadi tarikan utama yang mendorong penggemar burung di negara ini datang ke TRMZK," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya orang ramai hanya berpeluang melihat burung cenderawasih yang sudah diawet, bukannya burung yang hidup serta gelagatnya.

"Di TRMZK, pengunjung mendapat peluang untuk melihat unggas ini dari jarak dekat dan boleh merakam gambar serta jika bernasib baik menyaksikan tarian memikatnya yang dikatakan antara aksi memikat tercantik di dunia.

"Kami memberinya makan pelbagai buah-buahan dan paling digemari ialah betik," katanya.

Menurutnya, selain burung cenderawasih, zoo itu menempatkan beberapa spesies lain antaranya nuri, kakak tua dan kuang termasuk burung kuang raya yang menarik perhatian pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:02 AM