FILEM The Journey catat kutipan pecah panggung luar biasa, RM17 juta.
FILEM The Journey catat kutipan pecah panggung luar biasa, RM17 juta.
ZIZAN berlakon dalam Abang Long Fadil.
ZIZAN berlakon dalam Abang Long Fadil.
BABAK aksi dalam filem Balistik.
BABAK aksi dalam filem Balistik.
Oleh Norhayati Nordin

Meskipun sepanjang tahun 2014 industri perfileman tempatan mengalami masalah kutipan tiket yang suram di pawagam, namun masih ada beberapa karya mampu dibanggakan.

Lebih 70 filem tempatan ditayangkan sepanjang tahun ini dan paling menjadi perhatian adalah filem The Journey terbitan Astro Show Sdn Bhd yang berjaya mencipta rekod kutipan sebanyak RM17 juta.

Filem Mandarin arahan Chiu Keng Guan yang membariskan pelakon seperti Lee Sai Peng, Ben Andrew Pfeiffer dan Joanne Yew Hong Im itu berjaya menambat hati penggemar filem tempatan dengan kisah kasih sayang bapa kepada anak gadisnya serta adat tradisi masyarakat yang setia dijunjung.

Pengurus Besar Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 10 filem diterbitkan produksi itu.

"Menerusi tayangan semua filem, purata keseluruhan peningkatan kutipan pecah panggung diperoleh Astro Shaw untuk 2014 melebihi RM24 juta.

"Pastinya The Journey menjadi filem yang memberikan sumbangan kutipan pecah panggung terbesar kepada Astro Shaw bagi tahun ini," katanya.

Menurut Najwa, jalan cerita yang diketengakan The Journey berjaya menarik minat pelbagai kaum di Malaysia untuk menontonnya di pawagam.

"Apatah lagi, tema dipaparkan bercorak kemanusiaan yang 'universal' seperti kekeluargaan dan percintaan.

"Memandangkan kejayaan itu, The Journey berjaya menjadi penanda aras industri perfileman negara. Bagi 2015 semestinya Astro Shaw akan terus menerbitkan filem unik, berkualiti serta memberi lebih tumpuan terhadap bahan cerita dalam sesuatu karya itu,"katanya.

Najwa berkata, selain nilai komersial, kualiti cerita juga perlu mantap untuk memenuhi pelbagai kehendak dan cita rasa penonton.

Pada masa sama, Astro Shaw juga memberi sokongan kepada pembikin filem baru dalam kalangan golongan muda berbakat supaya industri filem tempatan terus berkembang.

Mengulas mengenai cita rasa penonton, Najwa berkata, masyarakat Malaysia kini semakin peka dan bijak menilai kualiti sesuatu filem diterbitkan.

Mengharapkan penonton akan kembali ke pawagam untuk memberi sokongan kepada filem tempatan, Najwa berkata filem pembukaan Astro Shaw pada 2015 ialah Suamiku, Encik Perfect 10!

Filem adaptasi novel dengan kerjasama penerbitan Global Station itu akan menemui penonton di pawagam pada 22 Januari 2015.

Selain itu, Astro Shaw dengan gandingan kerjasama KRU dan Grand Brilliance akan muncul dengan filem Cicakman 3 pada 12 Mac 2015. Diikuti, satu lagi filem adaptasi novel iaitu Pilot Cafe pada 9 April ini.

Tidak ketinggalan, Astro Shaw juga akan muncul de­ngan filem lain seperti Langit Cinta dan Polis Evo yang akan ditayangkan pertengahan 2015.

Filem Mamat buka tirai panggung 2015

Bagi pembukaan tirai esok, pastinya ia menjadi debaran buat pengarah terkenal Mamat Khalid apabila filem terbarunya Rumah Pusaka Di Simpang Jalan mula ditayangkan esok.

Mempertaruhkan kisah saka yang menuntut untuk terus diwarisi, filem mencuit hati yang padat dengan dialog lucu ini dibarisi pelakon seperti Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Jihan Muse, Syuk (SYJ) dan Rab Khalid.

Mamat yang ditemui ketika pratonton filem itu berkata, meskipun industri perfileman tempatan kini melalui era suram, dia sama sekali tidak pernah patah semangat untuk terus berkarya.

"Selagi Allah SWT mengizinkan saya berkarya, ia akan terus dilakukan meskipun situasi kutipan tiket filem di pawagam kini agak merudum.

"Sebagai pembikin filem, saya akan terus berusaha menghasilkan karya yang bagus dan berkualiti seiring kehendak penonton masa kini.

"Saya juga percaya sekiranya karya berkualiti dipersembahkan kepada penonton, sudah pasti sokongan sedia diberikan untuk industri filem tempatan," katanya.

Mamat yang cukup dikenali sebagai pengarah kreatif berkata, industri filem Melayu takkan mati selagi pembikin filem tempatan sedia berjuang untuk terus berkarya.

Selain Mamat, turut berdebar menunggu reaksi penonton untuk filemnya di pawagam ialah pelakon kacak, Aaron Aziz.

Aaron yang buat julung kali duduk di bangku pengarah filem, mempertaruhkan karya sulung arahannya, Romeo Kota terbitan Excellent Picture Sdn Bhd.

Filem membariskan pelakon seperti Aaron, Nabil Ahmad, Fizo Omar, Hanis Zalikha dan ramai lagi itu akan menemui penonton di pawagam pada 8 Januari ini.

Selain itu, pengarah Bade Azmi juga akan muncul dengan filem arahannya Isyarat, Cinta di seluruh pawagam tanah air pada Mac nanti.

Filem bergenre romantik, Isyarat Cinta terbitan RK Screen milik Datuk Rosyam Nor itu menampilkan barisan pelakon seperti Liyana Jasmay, Adi Putra dan Fizo Omar.

10 KUTIPAN TERTINGGI FILEM TEMPATAN

* The Journey-RM17.2 juta

* Abang Long Fadil-RM4.6 juta

* Ah Beng The Movie-RM4.08 juta

* Huah Ah! Huat Ah! Huat!-RM3.6 juta

* Balistik-RM2.2 juta

* Pengantin Malam-RM1.6 juta

* Zombi Kilang Biskut-RM1.5 juta

* Bullets Over Petaling Street-RM1.5 juta

* Sejoli-RM1.4 juta

* Nasi Tangas-RM1.3 juta

10 KUTIPAN TERENDAH FILEM TEMPATAN

* Lu, Gua Bro-RM245,742

* Cara Mengundang Hantu-RM245,448

* Awak Nak Kahwin Dengan Saya?-RM220,890

* Rumah Sewa RM50-RM295,879

* Laga-RM 158,674

* Fobia Malam Pertama-RM138,523

* Pintu Neraka-RM138,207

* Sniper-RM129,039

* Muka Surat Cinta-RM78,885

* Hantu Bukit Cina-RM29,698

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:02 AM