FOTO hiasan
FOTO hiasan
Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Mangsa banjir di beberapa negeri yang hilang atau mengalami kerosakan dokumen pemilikan kenderaan akan digantikan secara percuma.

Pelaksanaan insiatif pusat khidmat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan berkuat kuasa serta-merta, sehingga 15 April depan.

JPJ dalam kenyataan berkata, ia antara langkah untuk membantu masyarakat yang terkesan, seterusnya memberi impak ketara dari segi kesengsaraan ekonomi.

"JPJ menyasarkan mangsa banjir yang berdepan isu kehilangan atau kerosakan dokumen penting seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

"Pemilik dokumen perlulah hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian.

"Bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlulah membuat laporan polis dan mengemukakan laporan polis itu sebagai bukti kehilangan bagi mendapatkan gantian dokumen baharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi memudahkan urusan masyarakat, JPJ berkata, unit bergerak jabatan itu akan ditempatkan di kawasan terpilih, khususnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sehubungan itu, katanya, penduduk setempat boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.

"Dalam menyokong usaha kerajaan menangani fenomena banjir, JPJ di seluruh negara diarahkan untuk melaporkan kesiapsiagaan dalam menghulurkan bantuan berbentuk tenaga,sumber manusia atau gerakan aset-aset kenderaan sekiranya bersesuaian," katanya.

Seiring situasi banjir yang masih berlarutan di beberapa negeri ketika ini, JPJ turut mengambil pendekatan memberi kelonggaran terhadap aspek penguatkuasaan.

Katanya, ia mencakupi mana-mana kenderaan perdagangan atau individu yang terbabit dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan ke PPS, bilik gerakan banjir sehingga keadaan kembali reda serta terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:27 PM